perkhemahan
Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kerja Pas Pusat hari ini memutuskan untuk terus konsisten dan komited dengan agenda Penyatuan Ummah yang menjadi paksi utama kepada perpaduan nasional di antara orang Melayu-Islam, kaum Bumiputra dan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, situasi ini akan menjadi formula utama ke arah kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat.

Sehubungan itu, katanya, Pas kekal menganggap semua pihak yang bernaung di bawah gagasan Penyatuan Ummah termasuk UMNO sebagai Rakan Ta’awun terutama dalam membina negara yang baik, selaras dengan tuntutan Allah.

“Pas akan terus bersikap terbuka serta sedia mengadakan pertemuan, perbincangan dan perundingan bersama semua rakan-rakan Ta’awun dengan memfokuskan kepada titik-titik persamaan dan merapatkan sebarang jurang perbezaan demi kebaikan negara dan rakyat jelata

”Ini adalah juga selaras dengan usul yang dibawa oleh Dewan Ulamak Pas Pusat dan disokong sebulat suara dalam Muktamar Pas Ke-68 di Alor Setar baru-baru ini,” katanya.

Namun, Pas bertegas tidak akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan tidak menerima konsep “Khemah Besar” tajaan mana-mana pihak sekalipun dalam menghadapi PRU15 ini.

Takiyuddin berkata, parti itu amat yakin hanya dengan perpaduan di antara parti-parti Melayu-Islam sahaja akan dapat menjamin terbentuknya sebuah pemerintahan yang adil dan saksama kepada semua rakyat pelbagai kaum, agama, bangsa dan budaya.

Malah, pendekatan ini juga diyakini akan diterima baik oleh majoriti besar rakyat yang tidak mahu sejarah hitam lampau berulang kembali, ujar beliau. – MalaysiaGazette