KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga emas ditemui mati di bilik utama di rumahnya di Blok D, PPR Batu Muda, Jinjang Utara, dekat sini awal pagi ini.
Mayat lelaki itu ditemui dalam keadaan terlentang di tepi katil dan dikelilingi longgokan sampah.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner, Beh Eng Lai berkata, polis terpaksa meminta bantuan bomba untuk membantu mengeluarkan mayat kerana ia terperosok di bawah antara katil dan almari kabinet.
Hasil siasatan awal mendapati tiada kesan kecederaan ditemui di tubuh badan simati.
Difahamkan, anak lelaki itu telah dihubungi oleh jiran yang memaklum si mati sudah dua hari tidak keluar rumah.
Simati tinggal yang berusia 77 tahun tinggal seorang diri di rumah tersebut.
“Berdasarkan keadaan mayat, polis percaya dia sudah meninggal dunia melebihi tempoh 24 jam.
”Pasukan Forensik Polis Kuala Lumpur juga hadir di tempat kejadian untuk membantu siasatan dan mendapati tiada sebarang unsur jenayah ditemui,” katanya.
Mayat simati kemudian telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur untuk proses bedah siasat yang dijangka akan dijalankan hari ini bagi mengenal pasti punca kematian. – MalaysiaGazette