Penyanyi, Ernie Zakri bergambar bersama trofi kemenangan dalam kategori Vokal Terbaik Dalam Lagu (Wanita) pada Anugerah Industri Muzik ke 23 (AIM23) di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (Wisma MBSA), Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 11 SEPTEMBER 2022.

SHAH ALAM – Lagu Goodbye Hello nyanyian pasangan suami isteri, Syamel & Ernie Zakri merangkul anugerah Lagu Terbaik pada Anugerah Industri Muzik ke-23 (AIM 23) di Wisma MBSA, Shah Alam malam tadi.

Dengan kemenangan tersebut, lagu ciptaan Ernie, Syamel, Faizal Tahir dan Mike Chan itu membawa pulang Dana Kandungan Digital (DKD) berjumlah RM50,000.

Ernie turut diiktiraf sebagai pemenang Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita) menerusi Sinar Mata selain Lagu Pop Terbaik bagi single Goodbye Hello bersama Syamel.

Bagi kategori Album Terbaik pula, album Yonny (Deluxe Version) pula telah dipilih sebagai pemenang, sekaligus membawa pulang hadiah DKD sebanyak RM200,000.

Penyanyi, Yonnyboii bergambar bersama trofi kemenangan bagi kategori Album Terbaik pada Anugerah Industri Muzik ke 23 (AIM23) di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (Wisma MBSA), Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 11 SEPTEMBER 2022.

Penyanyi yang mendapat pencalonan terbanyak iaitu enam untuk empat kategori dipertandingkan, Dayang Nurfaizah pula tidak pulang dengan tangan kosong sebaik lagunya, Tudung Periuk diangkat sebagai pemenang Rakaman Lagu Terbaik.

Penghibur bervokal gemersik itu turut menerima dana muzik sebanyak RM50,000.

Pengiktirafan untuk Artis Baru Terbaik diraih Vanessa Reynauld, 22, juga membolehkannya menerima DKD sebanyak RM50,000.

Video Muzik Terbaik yang berjaya dibolot Gatal nyanyian Janna Nick di bawah arahan Chuan Looi turut mendapat dana muzik sebanyak RM20,000.

Penyanyi, Shila Amzah dan Liza Hanim menyampaikan ucapan selepas dinobatkan pemenang kategori Vokal Duo Terbaik pada Anugerah Industri Muzik ke 23 (AIM23) di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (Wisma MBSA), Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 11 SEPTEMBER 2022.

Gandingan duo, Shila Amzah dan Liza Hanim yang mempertaruhkan lagu Bahagiakan Dia juga antara yang meraih kemenangan berganda menerusi Persembahan Vokal Duo/ Kolaborasi Terbaik Dalam Lagu dan Runut Bunyi Terbaik.

Dikendalikan trio sensasi, Awal Ashaari, Sherry Alhadad dan Azad Jasmin, malam penuh gilang gemilang itu mengangkat tema Glam & Sophisticated.

Antara barisan selebriti yang tampil memanaskan pentas dengan persembahan hebat seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Liza Hanim, Ella, Marsh Milan, Nikki Palikat dan Aina Abdul. – MalaysiaGazette

Penyanyi, Vanessa Reynauld menyampaikan ucapan selepas dinobatkan pemenang kategori Artis Baharu Terbaik pada Anugerah Industri Muzik ke 23 (AIM23) di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (Wisma MBSA), Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 11 SEPTEMBER 2022.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast