Penyanyi, Ernie Zakri bersama Syamel bergambar bersama trofi yang dimenangi pada Anugerah Industri Muzik ke 23 (AIM23) di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (Wisma MBSA), Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 11 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Penyanyi Ernie Zakri menyifatkan trofi Persembahan Vokal Terbaik Dalam Lagu (Wanita) menerusi lagu Sinar Mata Hati di Anugerah Industri Muzik 23 (AIM23) amat dinanti selama ini.

Selain trofi tersebut, Ernie turut mengungguli kategori Lagu Pop Terbaik dan Lagu Terbaik menerusi Goodbye Hello yang dinyanyikan bersama suaminya, Syamel.

Kemenangan itu sekaligus melayakkan mereka menerima sebuah trofi kemenangan beserta Dana Kandungan Digital (DKD) sebanyak RM50,000 yang disalurkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM).
“AIM adalah anugerah yang saya tunggu-tunggu dan ia impian saya daripada kecil ketika menonton AIM dan saya ada bercakap dengan suami. Dia pernah merasa genggam trofi AIM sebelum ini tapi saya tidak pernah.

“Bila dianjurkan kembali selepas beberapa tahun dan nama saya tercalon dengan rakan artis lain. Sudah tentu rasa gembira sebab sekurang-kurangnya ia bagi semangat untuk kita kerja lebih keras. Sekarang ada sebab mengapa kita perlu buat yang terbaik.

“Apa yang boleh saya katakan, kemenangan ini adalah sesuatu yang bermakna bagi saya pada tahun ini, alhamdulillah,” katanya dalam sidang media semalam.

Ibu kepada seorang cahaya mata ini juga terharu kerana anugerah yang diterima adalah hasil penilaian yang dilakukan lebih 100 juri profesional.

“Rasa bersyukur, juri yang menilai pun di kalangan mereka yang profesional dan saya gembiralah bika hasil kerja diiktiraf serta dihargai sebegini.

“Sejak usia saya 15 ke 16 tahun begitu, saya sudah berhasrat untuk genggam trofi AIM. Bagi saya, ia anugerah yang perlu saya ada dalam kerjaya. Hari ini (Ahad) Allah SWT makbulkan.

“Jujurnya banyak lagi perkara yang saya nak capai dan buat dengan lebih baik. InsyaAllah doa-doakan saya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette