Bursa Malaysia
Logo Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR – Aliran masuk dana asing selama tujuh minggu berturut-turut ke Bursa Malaysia terhenti selepas pelabur asing menjual sebanyak RM42.49 juta ekuiti tempatan minggu lepas.

Pelabur asing adalah penjual bersih dari Isnin hingga Khamis menjadi pembeli pada hari Jumaat.

Sebahagian besar aliran keluar bersih asing dilihat pada hari Selasa dan Rabu masing-masing sebanyak RM42.18 juta dan RM45.72 juta.

MIDF Research berkata, pelabur asing merekodkan jualan bersih RM3.89 juta pada hari Isnin dan RM2.6 juta pada Khamis sebelum belian bersih RM51.9 juta pada hari Jumaat.

Manakala institusi tempatan bersih membeli RM91.29 juta minggu lepas, selepas menjadi penjual bersih selama lapan minggu berturut-turut. Mereka adalah pembeli bersih dari Isnin hingga Khamis minggu lepas.

Sebahagian besar belian bersih adalah pada hari Rabu dan Khamis masing-masing sebanyak RM59.26 juta dan RM51.36 juta

Belian bersih pada hari Isnin dan Khamis masing-masing ialah RM2.55 juta dan RM3.51 juta, sebelum menukar penjual bersih pada hari Jumaat sebanyak RM25.39 juta.

Sementara itu, pelabur runcit tempatan menjadi penjual bersih minggu lepas sebanyak RM48.81 juta selepas empat minggu melakukan belian bersih.

Pelabur runcit membuat belian bersih RM1.35 juta sebelum menukar menjadi penjual bersih sepanjang minggu, kata firma penyelidikan itu.

Jualan bersih ketara masing-masing pada hari Selasa dan Jumaat sebanyak RM17.08 juta dan RM26.51 juta.

Manakala hari Rabu dan Khamis menyaksikan jualan bersih masing-masing pada RM5.64 juta dan RM0.91 juta.

Tiga sektor teratas yang menyaksikan aliran keluar bersih oleh pelabur asing minggu lepas ialah produk dan perkhidmatan perindustrian sebanyak RM121.8 juta, perladangan pada -(RM35.7 juta) dan penjagaan kesihatan (RM34.6 juta)

Sementara itu, tiga sektor teratas dengan aliran masuk bersih ialah pembinaan, telekomunikasi dan utiliti masing-masing pada RM69.2 juta, RM47.9 juta dan RM25.1 juta.

Sehingga kini, dana antarabangsa menjadi pembeli bersih selama 24 daripada 36 minggu dengan jumlah aliran masuk bersih sebanyak RM8.11 bilion.

Pelabur institusi pula menjadi penjual bersih selama 28 daripada 36 minggu, dengan jumlah aliran keluar bersih sebanyak RM9.90 bilion.

Sementara itu, pelabur runcit merupakan pembeli bersih untuk 23 daripada 36 minggu 2022.

Setakat ini, mereka telah menjadi pembeli bersih pada RM1.79 bilion.

Dari segi penyertaan, terdapat penurunan dalam purata nilai dagangan harian (ADTV) secara keseluruhan, diterajui oleh pelabur asing pada 41.5%, peruncit pada 13% dan institusi tempatan 8.26%. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast