KUALA LUMPUR – Dasar Bioteknologi Negara (DBN 2.0) akan memberi tumpuan kepada tiga tunjang bagi memperkasakan sektor bioteknologi di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tiga tunjang itu adalah Bioteknologi Pertanian dan Jaminan Makanan; Penjagaan Kesihatan dan Kesejahteraan serta serta Bioteknologi Perindustrian dan Ekonomi Kitaran.
Beliau berkata, selaras dengan bidang tumpuan bioteknologi pertanian dan jaminan makanan, usaha kerajaan akan dipertingkatkan dalam menggunakan sumber asli tempatan secara mampan untuk input pertanian, ternakan dan hasil marin, serta akuakultur bernilai tinggi.
“Ekosistem makanan masa depan dan produk bernilai tinggi dengan menggunakan teknologi baharu dan terkini akan dibangunkan, seperti superfood dan penghasilan makanan baharu yang lebih lestari.
“Bioteknologi turut memainkan peranan penting bagi sekuriti kesihatan negara untuk mengatasi penyakit berjangkit dan penyakit tidak berjangkit,” katanya pada majlis pelancaran DBN 2.0 di sini hari ini.
Ismail Sabri menambah, DBN 2.0 bakal memacu momentum yang telah digariskan di bawah Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara 2021- 2030 untuk mentransformasikan Malaysia daripada negara pengguna teknologi kepada negara pembangun teknologi.
Jelas beliau, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi akan terus menjalin kerjasama erat semua pihak berkepentingan yang terdiri daripada kementerian danagensi kerajaan serta pihak industri berasaskan bio dan masyarakat bagi menjayakan sasaran-sasaran utama DBN 2.0.
“Lima sasaran utama DBN 2.0 adalah 30 peratus syarikat Bionexus ke peringkat global dan 70 peratus syarikat Bionexus peringkat tempatan kekal aktif selain kepada syarikat-syarikat Bionexus yang berpotensi untuk menjadi syarikat berstatus unicorn.
“Kerajaan dalam konteks ini menyasarkan tiga syarikat bio- inovasi berstatus unicorn menjelang 2030.
“Ketiga adalah pemerkasaan institut dan institusi serta tokoh penyelidik bioteknologi tempatan bertaraf dunia dan lima peratus Keluaran Dalam Negara Kasar negara oleh syarikat-syarikat bioteknologi.
“Akhir sekali seramai 80 peratus graduan bioteknologi yang diiktiraf melalui program pentauliahan mikro dan 20 peratus graduan bioteknologi dalam program pasca siswazah,” katanya.
Namun Ismail Sabri mengakui antara cabaran dan kekangan yang dihadapi negara ketika ini adalah kekurangan modal atau pembiayaan susulan untuk pengkomersialan serta kekurangan bakat dalam kepakaran khusus.
Bagaimanapun kata beliau, segala permasalahan mampu ditangani jika semua pihak berkepentingan menggembleng tenaga untuk menyokong ekosistem bioteknologi negara
“Ia termasuklah menyediakan persekitaran yang kondusif agar dapat menambah jumlah kepakaran penyelidik tempatan bertaraf antarabangsa.
“Pengukuhan dan pemerkasaan ekosistem bioteknologi negara ini perlu dilaksanakan seiring dengan transformasi strategi dan tadbir urus dasar yang telah dikenal pasti dalam DBN 2.0,” katanya. – MalaysiaGazette