hakim Zaid Ibrahim Najib Razak SRC International
Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Hakim-hakim seharusnya mengamalkan sikap terbuka terhadap pandangan yang disuarakan oleh orang ramai kerana selaku manusia biasa, mereka juga tidak terlepas daripada melakukan kekhilafan.

Peguam, Datuk Zaid Ibrahim berkata, setiap institusi di negara ini termasuk badan kehakiman sewajarnya mudah didekati rakyat.

Menurut beliau, rakyat biasa sepatutnya bebas membuat sebarang komen selagi mereka menghormati mahkamah dan para hakim.

“Jika kita berniat baik, kita tidak sepatutnya takut untuk memberi komen hanya kerana kita tidak memahami undang-undang 100 peratus.

“Malah, peguam pun tidak mempunyai pemahaman intelektual yang mendalam terhadap undang-undang seperti para hakim.

“Tetapi apabila saya ditanya tentang sesuatu kes, saya beri pandangan mengikut apa yang dibenarkan oleh undang-undang dan secara jujur,” katanya seperti dipetik daripada rakaman video yang dimuat naik dalam laman Facebook miliknya, hari ini.

Zaid mengulas mengenai kenyataan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat Sabtu lalu bahawa kebanyakan komen yang menyerang sistem kehakiman lebih-lebih lagi berkaitan keputusan mahkamah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah berdasarkan sentimen semata-mata.

Beliau berkata, berdasarkan komen dan serangan tersebut, ahli politik dan masyarakat didapati tidak membaca alasan penghakiman serta tidak memahami undang-undang.

Zaid menambah, kadangkala beliau tidak bersetuju dengan penghakiman yang dibuat dan memberi ulasan mengenai pandangannya itu.

Beliau memberitahu, dalam sebuah negara yang menjunjung demokrasi dan kedaulatan undang-undang, institusi kehakiman turut menerima manfaat daripada diskusi terbuka tentang sistem keadilan.

“Pihak yang kalah atau yang menang ada pandangan tersendiri. Walau apa pun, dalam diskusi ini perlu ada sifat merendah diri, mesti memahami pandangan pihak lain.

“Jika kita tidak mempunyai toleransi, tidak memahami, tidak merendah diri, maruah akan dicampak ke luar tingkap,” katanya.

Zaid berkata, rakyat tidak boleh mengharapkan kebertanggungjawaban daripada ahli-ahli politik dan badan eksekutif.

“Sekiranya kita membenci tirani ahli-ahli politik, kita turut mengeji tirani golongan bijaksana dan kehakiman,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada rakyat agar berani menyuarakan tentang apa yang difikirkan penting bagi mereka dan negara ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Pada sudut pandangan peribadi usaha DSNR tu ada kebenarannya dari sudut pandangan Islam tentang hubungan pemimpin fan masyarakat. Beliau mahu berusaha untuk memastikan penerima zakat dikalangan orang Islam dapag dikurangkan kalau boleh tidak ada lagi golongan yang susah dan kelaparan. Mungkin para hakim gagal melihat suduy pandangan ini tambahan pendakwaan psda peguam bukan betagama Islam.

Comments are closed.