PEKAN – Sudahlah menghidap gangguan hiperaktif atau Attention Deficit Hyperactive Disorder (ADHD) kini anak mereka turut disahkan mempunyai penyakit jantung.
Itu dugaan berganda pasangan suami isteri yang seakan sudah buntu memikirkan nasib anak ketiganya, Mohamad Hazzim, 11, yang ada penyakit jantung kongenital Trunchus Arteriosus oleh Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan di Pahang.
Tambahan pula sebelum itu, Mohd Norsyam Abdul Latif, 43 dan Rozela Ismail @ Osman, 45, baru sahaja kehilangan anak sulung mereka, Mohamad Haiqal yang berusia 14 tahun selepas pembedahan jantung pada Mei tahun lalu.
“Mula-mula lelah dan semput tapi kita memang tak sangka rupanya ada penyakit jantung. Masa dia (Mohamad Hazzim) bermain, tengok mukanya biru dan kita pergi ke hospital untuk pemeriksaan dan mendapati anaknya itu mengalami sakit jantung,” katanya.
Rozela juga mengakui sebak ketika dimaklumkan Mohamad Hazzim tidak dapat dibedah seperti arwah abangnya.
“Doktor kata tak boleh dibedah atas faktor berisiko tinggi tapi tiada penjelasan lanjut daripada hospital,” ujarnya ketika ditemui MalaysiaGazette rumahnya di Taman Alor Ara Dahlia di sini hari ini.
Rozela mengakui sebak ketika dimaklumkan Mohamad Hazzim tidak dapat dibedah seperti arwah abangnya.
Dalam pada itu, Mohd Norsyam juga tidak menyangka mereka sekeluarga perlu menghadapi situasi yang sama buat kali kedua.
“Saya rasa sedih sebenarnya sebab saya ingatkan dugaan kami dan berakhir apabila arwah (Mohamad Haiqal) sudah meninggal. Rasa macam tak boleh nak terima jugalah sebenarnya tapi kami reda,” luahnya.
Katanya, situasi yang dihadapi Mohamad Hazzim sedikit berbeza berbanding abang sulungnya daripada segi saluran pulmonari yang mengepam darah ke jantungnya.
“Saluran darah bagi jantung normal biasanya ada dua saluran masuk dan dua saluran keluar tapi jantung anak saya ini hanya ada satu saluran darah masuk dan satu keluar selain ada jantung berlubang,” jelasnya.
Bapa kepada empat anak itu tidak lagi bekerja sebagai pemandu peribadi sejak pandemik Covid-19 melanda negara tiga tahun lalu.
Sejak itu, dia terpaksa mengutamakan penjagaan kesihatan anaknya ketika Rozela menggalas tanggungjawab menjana pendapatan dengan menjual kuih dan keropok.
“Dalam keadaan sekarang ini, saya hanya membantu isteri saya menguruskan rumah tangga semua. Sebab isteri saya tak boleh bawa kereta, jadi saya lah kena menghantar anak-anak ke sekolah.
“Lagi satu, saya tak bekerja bukan sebab tak dapat tawaran atau apa tapi di Kuantan. Jarak dari sini (Pekan) lebih satu jam. Tak sempat nak hantar ambil anak yang seorang lagi dari sekolah,” jelasnya lagi.
Selain itu, Mohd Norsyam berkata, isterinya yang juga mempunyai masalah kesihatan membabitkan penyakit abdomen namun terpaksa menangguhkan proses pembedahan kerana bertembung tarikh dengan pembedahan anak sulung mereka tahun lalu.
“Walaupun dia sakit tapi dia tetap memikirkan anak-anak, dia teruskan buat kuih walaupun dia sakit,” katanya.
Sebagai ketua keluarga, Mohd Norsyam berazam untuk menambah pendapatan keluarga dan menyediakan kehidupan lebih baik untuk anak-anak dan isterinya.
“Dan kalau boleh kami tak mahu Mohamad Hazzim jadi seperti abangnya, kalau boleh kami nak usahakan supaya dia boleh diubat dan sihat,” tambahnya. – MalaysiaGazette