Anwar Ibrahim

PETALING JAYA – “Penghijrahan” Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding di Perak akan menambahkan sokongan daripada pengundi atas pagar di Perak, khususnya dalam kalangan orang Melayu, kata Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh.

Kah Woh berkata demikian sebagai mengulas khabar angin bahawa Presiden PKR itu akan bertanding di kerusi Parlimen Tapah di Perak.

Beliau berkata, persaingan politik di perak adalah amat sengit sejak 2008 dengan 28 kerusi di satu pihak dan 31 kerusi di pihak lawan.

“Adalah menjadi hak Anwar untuk bertanding di Perak atau tempat lain.

“Tetapi di Perak, cabaran utama kami (Pakatan Harapan) adalah kekurangan pemimpin Melayu yang mempunyai daya tarikan tersendiri,” katanya kepada Nanyang Siang Pau.

Menurut Kah Woh, sejak melantik Mujahid Yusuf Rawa sebagai Pengerusi PH Perak, perubahan pada tahap tertentu telah kelihatan dalam kalangan pengundi Melayu.

“Apa yang kami perlukan di Perak, mungkin hanyalah tambahan sokongan lima peratus daripada pengundi atas pagar dalam kalangan orang Melayu,” katanya. – MalaysiaGazette