KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini memperoleh perintah injunksi sementara daripada Mahkamah Tinggi di sini, supaya Datuk Lokman Noor Adam dengan serta-merta memadamkan kesemua video yang didakwa memfitnah perdana menteri di akaun media sosial.
Peguam Ragunath Kesavan yang mewakili Ismail Sabri berkata Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain, membenarkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) dikemukakan Naib Presiden UMNO itu selaku plaintif, terhadap Lokman sebagai defendan.
“Mahkamah mengeluarkan perintah injunksi memaksa defendan mengeluarkan video bertajuk “Bila Presiden UMNO Panggil Tak Datang! Tapi PM Ada Masa Jumpa Mahathir – Lokman Adam”, yang dimuat naik di akaun Youtube, Facebook, Instagram dam TikTok milik defendan.
Menurut Kesavan, perintah ex-parte dikeluarkan hari ini sehingga pendengaran inter-parte (dua pihak) pada 26 Sept ini.
Ismail Sabri, 62, memohon perintah injunksi itu dalam kes saman difailkannya terhadap Lokman, 49, yang merupakan ahli UMNO pada 8 Sept lepas di Mahkamah Tinggi di sini yang didakwa menyiarkan kata-kata fitnah menerusi akaun media sosial.
Dalam penyataan tuntutan, Ahli Parlimen Bera itu mendakwa Lokman pada 22 Ogos lepas telah membuat kenyataan-kenyataan fitnah terhadap plaintif, dalam satu video bertajuk “Bila Presiden UMNO Panggil Tak Datang! Tapi PM Ada Masa Jumpa Mahathir – Lokman Adam”.
Beliau berkata kenyataan-kenyataan berniat jahat, fitnah dan tidak benar berkenaan plaintif, dimuat naik menerusi empat akaun media sosial milik defendan iaitu YouTube “Lokman Adam”, Facebook “Lokman Noor Adam Official”, Instagram “lokmannooradam” dan TikTok “datoklokmanadam”.
Menurut plaintif, kata-kata fitnah itu antara lain membawa maksud plaintif telah berjumpa dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan merancang atau berniat untuk merancang dengan bekas perdana menteri itu serta parti-parti politik lain yang bertentangan dengan UMNO, untuk kekal sebagai perdana menteri dengan membelakangkan dan mengkhianati parti itu.
Ismail Sabri berkata beliau tidak pernah berjumpa Dr Mahathir dan parti-parti lain dengan membelakangkan atau mengkhianati UMNO, dan tidak pernah mengatur langkah-langkah secara tidak berprinsip untuk menghalang pembubaran Parlimen dan seterusnya mengadakan Pilihan Raya Umum, untuk kekal sebagai perdana menteri.
Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, teladan dan tambahan, faedah, kos serta relif lain difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Pada 1 Sept lalu, Lokman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan membuat dan memulakan komunikasi jelik terhadap Ismail Sabri dan kerajaan melalui aplikasi Facebook atas nama profil “Lokman Noor Adam Official” pada 20 dan 22 Ogos lalu.
— BERNAMA