Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid hadir pada Majlis Penyampian Watikah Pelantikan Anggota Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Negeri Selangor di Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Putrajaya. Foto MUHD NA'IM, 12 SEPTEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Semua agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) telah bersedia dalam menghadapi kemungkinan banjir besar yang dijangka berlaku November ini.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid yakin setiap agensi di bawah kementeriannya telah bersiap siaga dengan kemungkinan itu sejak dari awal.

“Kita sudah ada pengalaman banyak kali bab banjir ni…saya ingat dia punya persediaan Datuk KSU (Ketua Setiausaha) pun dah keluarkan SOP (Prosedur Operasi Standard) pada agensi.

“Kita ada banyak agensi yang melibatkan masyarakat di luar terutamanya agensi wilayah. Kita ada KEJORA di Johor, kita ada KETENGAH di Terengganu, kita ada KESEDAR di Kelantan, kita ada KEDA di Kedah, kita ada PERDA, Kita juga ada JAKOA.

“Di peringkat pusat pula kita ada Felcra, RISDA juga MARA, kemudian di kementerian sendiri kita ada bahagian.

“Jadi, saya ingat semua sudah boleh alert apa yang akan berlaku lebih awal daripada jangkaan,” katanya pada sidang media selepas selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Anggota Jawatankusa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Negeri Selangor di sini hari ini.

Hadir sama pada Majlis itu Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar.

Mengulas lanjut, Mahdzir menegaskan, agar semua agensi  bawah KPLB dapat menggerakan jentera sebagai persediaan bermula dartipada sekarang.

Media sebelum ini melaporkan ramalan MetMalaysia bahawa negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini yang membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan berkenaan.

Cuaca yang dialami dijangka memberi impak lebih signifikan disebabkan Monsun Timur Laut yang aktif pada tempoh itu dengan risiko berlaku hujan lebat berterusan serta banjir berskala besar. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast