MELAKA – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menambah aset penyelamatan keseluruhan berjumlah RM3 juta bagi menghadapi musim banjir di seluruh negara yang dijangka bermula November ini.
Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamatnya, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, ia melibatkan 60 buah bot khas dan 100 unit pencahayaan sekaligus meningkatkan kecekapan operasi mencari dan menyelamat pasukan itu.
Menurutnya, tambahan aset itu susulan kaedah dan pendekatan penyelamatan yang berbeza terhadap mangsa-mangsa banjir antara di enam negeri ‘tradisi’ banjir dan mangsa banjir di kawasan -kawasan perbandaran.
“Banjir di kawasan-kawasan bandar ini kalau kita tengok pada tahun lepas kawasan ini kaedah dan pendekatan kita sikit berbeza berbanding negeri-negeri tradisi banjir iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak
“Sebab itu kita telah mendapatkan perolehan 60 buah bot khas yang mana ia mempunyai keupayaan untuk bergerak lebih cepat dan pantas khususnya di kawasan perbandaran.
“Tahun lepas, kita juga hadapi isu pencahayaan yang kritikal dan telah membeli 100 unit pencahayaan melibatkan keseluruhan aset bernilai RM3 juta untuk kegunaan di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penutupan Kursus Pengurusan Bencana Peringkat Negeri Melaka yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam di Pantai Puteri, di sini, hari ini.
Hadir sama Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Zaidi Attan dan Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Kundor, Tuminah Kadi.
Turut sama Pengarah Bahagian Udara, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba, Nazili Mahmood; Pengarah Korporat Penolong Pesuruhjaya Bomba Shauki Hamzah dan Pengarah Bomba Negeri Melaka, Penolong Pesuruhjaya Bomba Abu Bakar Katain.
Mengulas lanjut Nor Hisham berkata, daripada segi kesiapsiagaan pasukan penyelamat itu, seramai 12,718 anggota bomba di seluruh negara sudah bersiap sedia bersama-sama hampir 2,000 aset air dan darat untuk digerakkan ke 4,872 lokasi banjir bagi menghadapi banjir musim tengkujuh tahun ini.
“Dari segi logistik ini semua telah kita perkukuhkan khususnya dengan pengambilan hampir penuh keanggotaan kita yang berada di kapasiti 96 peratus termasuk tumpuan yang diberikan di enam negeri utama tradisi banjir.
“Selain banjir, kita juga telah mengenal pasti 186 lokasi yang berisiko berlaku bencana kepala air selain 122 cerun kritikal,” katanya. – MalaysiaGazette.