Helikopter terputus hubungan dengan KLATCC ditemui di Hutan Simpan Chikus, Bidor, Perak semalam.

IPOH – Kecederaan di kepala akibat kemalangan membabitkan penerbangan dikenal pasti punca kematian juruterbang yang meninggal dunia dalam nahas helikopter di Bidor dekat sini semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, punca kematian disahkan Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini selepas bedah siasat ke atas mendiang dilakukan pukul 9 pagi tadi.

“Selain itu, isteri kepada juruterbang itu masih berada di luar negara dan dijangka tiba di Malaysia dalam masa terdekat.

“Polis ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta terima kasih kepada seluruh agensi dan sukarelawan yang terlibat dalam menjayakan operasi mengesan mangsa tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mangsa maut akibat mengalami kecederaan di kepala.

Mengulas lanjut, Mohd Yusri berkata, pihaknya juga sudah mengaturkan kawalan rapi di tempat kejadian nahas sehingga siasatan selesai dijalankan oleh Biro siasatan kemalangan Udara dan Bahagian Forensik PDRM yang bermula hari ini.

“Helikopter berkenaan akan diserahkan kepada pemilik untuk tindakan seterusnya,” jelas beliau.

Semalam media melaporkan, juruterbang helikopter warga Hong Kong, Tsz Kin Richard Chan, 58, ditemui di bahagian kokpit dilaporkan  terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, kelmarin.

Mangsa maut dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut menggunakan helikopter. – MalaysiaGazette