Wan Junaidi Tuanku Jaafar

PUTRAJAYA – Kerajaan telah memuktamadkan keputusan dasar berhubung pelaksanaan hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau dalam satu kenyataan hari ini berkata keputusan itu dicapai dalam dua siri mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Mengenai Cadangan Balas Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori yang dipengerusikannya pada pada 6 Sept lepas dan hari ini.

“Kerajaan secara dasarnya telah bersetuju dengan cadangan hukuman gantian bagi 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori, satu kesalahan di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 [Akta 234] dan 22 kesalahan yang membawa hukuman mati tetapi dengan budi bicara mahkamah serta moratorium pelaksanaan hukuman mati bagi 1,337 banduan,” katanya.

Katanya, susulan keputusan itu, satu Memorandum Jemaah Menteri akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri untuk pertimbangan dan kelulusan, sebelum pembentangan rang undang-undang (RUU) bagi pindaan akta-akta terlibat dilaksanakan dalam Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen Ke-14.

“Bacaan pertama bagi RUU itu dijangka pada 4 Oktober dan bacaan kedua pada 22 November, tertakluk kepada perubahan jadual dari semasa ke semasa,” katanya.

Wan Junaidi berkata kerajaan juga akan mengadakan sesi libat urus bersama wakil Ahli Dewan Rakyat dalam masa terdekat bagi membentangkan penetapan dasar berkaitan pelaksanaan hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori.

“Kerajaan sentiasa komited untuk memperjuangkan undang-undang yang lebih adil dan penuh belas kasihan dalam isu sebatan serta pelaksanaan hukuman mati,” katanya. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast