KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diminta mencari satu kaedah paling sesuai untuk menangani masalah jalan beralun dan berlubang di Jalan Sentul Pasar, berdepan dengan Sky Awani Residences.
Isu kerosakan jalan raya di situ bukan perkara baharu walaupun kerosakan jalan itu dibaiki oleh DBKL. Ini kerana kerja-kerja pembaikan itu tidak ia tidak tahan lama dan akan kembali berlubang.
Ahli Parlimen Baru, P. Prabakaran, kerosakan jalan yang kerap berlaku itu kerana kawasan berkenaan merupakan bekas lombong atau berpaya.
Disebabkan faktor muka buminya menyebabkan ia beralun dan mudah mengalami kerosakan.
“Dulu sini lombong. Oleh sebab itu permukaan jalan ini tidak rata dan beralun serta mudah rosak kerana hujan dan panas sepanjang tahun, selain jalan raya ini turut digunakan oleh kenderaan berat.
””Sekarang ini DBKL sudah tampal sementara jalan-jalan yang berlubang di sini tetapi ia akan berlubang lagi kerana struktur jalan ini lembut, setiap kali hujan, jalan raya akan bertakung air.
“Penduduk sini bimbang, kalau DBKL tidak jumpa jalan penyelesaian kekal, mungkin jalan raya ini boleh runtuh,” katanya kepada MalaysiaGazette yang membuat tinjauan di situ.
Tinjauan dibuat susulan tular video berurasi 12 saat kejadian di hadapan Sky Awani Residence, Jalan Sentul Pasar, Kuala Lumpur yang menyaksikan seorang penunggang motosikal terlibat dalam kemalangan kerana gagal mengelak jalan berlubang.
Namun, dalam tinjauan semalam mendapati jalan lubang tersebut sudah diturap.
Prabakaran berkata, beliau telah bertemu dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur supaya pihak berkuasa tempatan itu mencari mekanisma menangani isu kerosakan jalan di kawasan terbabit dengan segera kerana ia merupakan laluan utama penduduk sekitar untuk pergi ke bandar dan ke Batu Caves. – MalaysiaGazette