Izham (tengah) bersama wakil penduduk Taman Kencana selepas mengadakan pertemuan mengenai bantahan jajaran MRT-3 di kawasan berkenaan di Ampang kelmarin.

KUALA LUMPUR – Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) diberi masa selama dua minggu bagi membentangkan perincian khas jajaran projek Transit Aliran Massa 3 (MRT 3) di Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pertanian dan Perladangan dan Industri Asas Tani Selangor, Ir. Izham Hashim pembentangan itu perlu dibuat sebelum kata putus mengenainya dimuktamadkan.

“Kelmarin saya mengadakan pertemuan bersama wakil penduduk Taman Kencana bagi menjelaskan kekeliruan tentang projek MRT-3.

“Saya telah memberi penerangan terperinci, garis masa serta pilihan reka bentuk Stesen MRT Taman Kencana kepada wakil penduduk yang terlibat,” katanya dalam hantaran di media sosialnya semalam.

Pertemuan dengan wakil penduduk Taman Kencana di Ampang itu susulan daripada mesyuarat khas beliau bersama Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Selangor, Jabatan Parit Saliran Selangor, MRT Corp serta jabatan dan agensi yang terlibat dalam pembinaan MRT-3.

“Seperti yang telah saya jelaskan, kerajaan negeri tidak menolak segala bentuk kemajuan infrastruktur tetapi ianya haruslah seiring dengan keperluan masyarakat setempat.

“Semoga dengan hasil pertemuan ini dapat meredakan sedikit kekeliruan yang berlaku kepada penduduk Taman Kencana yang terlibat dalam perancangan pembinaan projek MRT-3 ini,” katanya.

Sebelum ini, penduduk Taman Kencana menubuhkan jawatankuasa khas membantah cadangan jajaran baharu MRT3 berikutan lebih separuh daripada jumlah rumah di kawasan berkenaan terlibat dengan projek berkenaan.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Isu jajaran baru MRT di Taman Kencana dibawa ke Majlis Tindakan Ekonomi – MB