MELAKA – Bekalan sayur di tiga pasar besar Melaka dikesan mengalami kenaikan antara lima hingga lapan peratus sejak minggu lalu.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, Norena Jaafar berkata, keadaan itu berpunca daripada tanaman sayur yang tidak menjadi akibat musim hujan di negeri-negeri pengeluar sayur ketika ini.
Menurutnya, permintaan sayur di Melaka melebihi keupayaan pengeluar tempatan yang membekalkannya secara kecil-kecilan sehingga kebanyakan sayur terpaksa dibawa masuk dari Pasar Borong Selayang dan Cameron Highlands.
“Kenaikan harga sayur antaranya sawi, kacang panjang, brokoli dan kangkung dikesan berlaku antara lima hingga lapan peratus atau 50 sen hingga 80 sen yang didakwa berpunca daripada musim hujan.
“Walaupun ia hanya kenaikan kecil yang tidak dapat dielakkan akibat perubahan cuaca, kita akan terus melakukan pemantauan dan berharap peniaga tidak mengambil kesempatan mengaut keuntungan berlebihan,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Rakan KPDNHEP Jom Teguh Bersama yang menyaksikan pertandingan boling antara KPDNHEP dan pengamal media Melaka di Pusat Boling Antarabangsa Melaka (MIBC), di sini malam tadi.
Mengulas lanjut Norena berkata, pemeriksaan di tiga pasar besar iaitu Pasar Besar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di Bachang, Pasar Besar Jasin dan Pasar Besar Alor Gajah mendapat terdapat perbezaan harga yang ketara antara pasar di Merlimau, Jasin dan MBMB.
“Sebagai contoh, harga sawi di Pasar Besar MBMB adalah RM4.50 sekilogram berbanding RM6.50 di Merlimau selain brokoli masing-masing RM12 dan RM16 yang mana keadaan ini mungkin berpunca apabila peniaga mengambil bekalan sayur daripada orang luar melibatkan banyak peringkat.
“Jadi kita nasihatkan peniaga jika boleh terus ambil sayur ini terus daripada pemborong bagi menjamin kestabilan harga,” katanya. – MalaysiaGazette.