Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed pada Program 'Townhall Discussion' 2022 Polis Selangor di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Selangor, Shah Alam. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 13 SEPTEMBER 2022.

SHAH ALAM – Polis Selangor masih menunggu arahan selanjutnya daripada pihak pendakwa raya berhubung kes seorang penceramah bebas terbabit kes rogol perempuan berusia 14 tahun.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya sudah mengemukakan permohonan pendakwaan kes itu pada bulan lalu dan masih menunggu sebarang arahan.

“Kes itu kita sudah kemukakan kepada pendakwa raya pada 22 Ogos lalu dan kita tunggu arahan selanjutnya,” katanya pada sidang media di IPK Selangor, hari ini.

Sebelum ini, seorang penceramah bebas direman selama lima hari bermula 19 hingga 23 Julai lalu dipercayai terbabit kes rogol perempuan berusia 14 tahun.

Menurut Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi Subramaniam, suspek berusia 30-an itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor pada 4.50 petang, 18 Julai lalu.

Tangkapan itu dibuat selepas pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada remaja perempuan terbabit pada 11.15 malam, 16 Julai lalu.

Sementara itu, mengulas mengenai kes amang seksual fizikal melibatkan selebriti lelaki terhadap beberapa remaja lelaki bawah umur, Arjunaidi bagaimana pun berkata, setakat ini pihaknya hanya menerima empat laporan polis sahaja.

“Setakat ini kita ada empat kes sahaja di Selangor yang dilaporkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette