Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Haji Abdullah Sani bergambar kenangan dengan duta yang hadir pada Majlis Pelantikan Duta Anti-Scam Jabatan Siasatan Jenayah Komersil di Maktab PDRM, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 13 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR –  Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman telah merekodkan sebanyak 14,140 kes  dalam talian membabitkan kerugian RM482 juta bagi tempoh antara Januari hingga Ogos tahun ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, jumlah itu menurun sebanyak 6,561 kes berbanding 20,701 yang direkodkan dengan jumlah kerugian RM560 juta bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Kes pembelian dalam talian merekodkan jumlah tertinggi penipuan dalam talian iaitu sebanyak 6,449 kes tahun ini (Januari hingga Ogos lalu) melibatkan kerugian sebanyak RM89 juta berbanding 9,499 kes (RM73 juta) tahun lalu.

“Sebanyak 2,191 kes pinjaman tidak wujud direkodkan dengan kerugian RM25 juta pada tahun ini sehingga Ogos lalu berbanding 4,784 membabitkan kerugian berjumlah RM50 juta pada tahun lepas,” katanya ditemui selepas Majlis Perasmian Duta Anti-Scam di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din dan Pengarah Urusan Multimedia Creative Solutions Sdn Bhd (MCS), Datuk Steven Lim Boon Siong.

Tambah Acryl, pihaknya merekodkan sebanyak 2,379 kes penipuan pelaburan dalam talian membabitkan kerugian RM151 juta pada tahun ini berbanding 3,195 kes (RM245 juta) pada tahun lalu.

Bagi kes membabitkan Macau Scam pula polis merekodkan sebanyak 2,439 kes dengan kerugian berjumlah RM147 juta sehingga Ogos lalu berbanding 1,585 kes (RM84 juta) pada tahun lalu.

“Justeru, sebanyak 549 kes dengan kerugian RM39 juta membabitkan African Scam turut direkodkan pada tahun ini berbanding sebanyak 1,460 kes penipuan yang sama dengan kerugian wang berjumlah RM56 juta tahun lalu,” katanya.

PDRM juga menerima kes penipuan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mana sebanyak 101 kes membabitkan kerugian lebih RM1.3 juta direkodkan pada tahun ini berbanding 121 kes (RM1.7 juta) pada tahun lalu.

“Dalam pada itu, bagi kes Business Email Compromise (BEC) pula, sebanyak 32 kes direkodkan membabitkan RM28 juta kerugian pada tahun ini berbanding 57 kes (RM49 juta) pada tahun lalu,” ujarnya. – MalaysiaGazette