Bekas setiausaha dan bendahari UMNO cawangan Tanjong, Pulau Pinang direman bagi membantu siasatan salah guna kuasa mengeluarkan wang milik parti itu berjumlah lebih RM600,000 untuk kegunaan peribadi.

GEORGE TOWN – Bekas setiausaha dan bendahari bahagian UMNO di Pulau Pinang direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa dengan mengeluarkan wang milik parti itu berjumlah RM600,364 untuk kegunaan peribadi.

Perintah tahanan reman terhadap lelaki berusia 49 dan 73 tahun itu dikeluarkan Majistret Mahkamah George Town, Rosnee Mohd Radzuan bermula hari ini hingga 19 September depan.

Ia bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dilakukan terhadap kedua-dua lelaki tersebut.

Mahkamah membenarkan kedua-dua lelaki itu direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

Kedua-dua suspek diwakili peguam, Norhisham Shaidi.

Terdahulu, kedua-dua suspek tiba di pekarangan Mahkamah George Town, di sini, pada jam 10.15 pagi dengan memakai baju lokap SPRM.

MalaysiaGazette difahamkan, dua lelaki itu ditahan SPRM Pulau Pinang semalam selepas menerima aduan mengenai penyalahgunaan kuasa ketika mereka memegang jawatan tersebut pada tahun 2018.

Lelaki berusia 49 tahun itu yang juga setiausaha UMNO cawangan disyaki menyalahgunakan kuasa dan bersubahat bersama bendahari cawangan dengan membuat pengeluaran wang yang mencurigakan dari akaun bank parti itu dengan beberapa transaksi.

Kedua-dua suspek dibawa ke mahkamah pada jam 10.15 pagi bagi mendapatkan permohonan reman.

Mereka juga disyaki membuat pemindahan wang dari akaun bank sama kepada sebuah yayasan pendidikan dan kebajikan milik bersama untuk kepentingan peribadi yang mana mereka merupakan pengarah yayasan tersebut.

Difahamkan, secara keseluruhan siasatan SPRM mendapati jumlah pengeluaran itu bernilai  RM600,364. – MalaysiaGazette