SEPANG – Malaysia merekodkan trafik penumpang udara sebanyak 16.3 juta bagi lima bulan pertama tahun ini.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, jumlah ini menunjukkan pertumbuhan sebanyak 574.6 peratus berbanding 2021.
Menurutnya, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) mengunjurkan jumlah trafik penumpang bagi tahun 2022 dijangka meningkat antara 197 peratus dan 347 peratus antara 32.6 juta dan 49 juta penumpang berbanding tahun lalu.
Bercakap pada majlis perasmian Program Keselamatan Penerbangan Kebangsaan di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC), dekat sini, Ka Siong berkata, jumlah trafik kargo udara pada tahun ini diunjur berkembang antara 3.9 peratus dan 6.7 peratus bersamaan antara 21.5 bilion hingga 22 bilion Freight Tonne Kilometres (FTK).
Ka Siong berkata, jumlah pergerakan pesawat di negara bagi enam bulan pertama 2022 sebanyak 288,076 dan ia bersamaan 81.65 peratus daripada keseluruhan jumlah pergerakan pesawat pada Januari hingga Disember tahun lalu.
Mengulas lanjut tambah beliau, berdasarkan data semasa dan ramalan yang dilakukan oleh Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), jumlah penumpang udara akan pulih sepenuhnya paling awal menjelang tahun 2024.
Namun, situasi berkenaan bergantung kepada situasi semasa di rantau, katanya.
“Tidak semua pasaran atau sektor akan pulih pada kadar yang sama. Rantau Asia Pasifik hanya akan pulih sepenuhnya menjelang tahun 2025.
“Manakala wilayah Amerika Utara dan Eropah diramal pulih sepenuhnya lebih cepat pada tahun 2024,” katanya lagi.
Oleh itu, beliau menyeru semua pihak dalam industri penerbangan tidak mengabaikan aspek keselamatan khususnya ketika sektor penerbangan negara kini berada di fasa pemulihan.
Tegasnya, semua pemain industri penerbangan awam perlu mematuhi aspek-aspek keselamatan yang telah ditetapkan.
Dalam masa yang sama ujar beliau, MOT tidak akan berkompromi dalam perkara yang melibatkan keselamatan penumpang.
“Dalam hubungan ini, pihak kementerian melalui Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang mengabaikan ketetapan dan piawaian Keselamatan,” tambah beliau.-MalaysiaGazette