Darren Lok. Foto Facebook PJ City.

KUALA LUMPUR – Jika mahu mendapatkan sesuatu semasa berdepan pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang masih kebal dengan rekod tanpa kalah, sebarang kesempatan yang terhidang perlu dimanfaatkan.

Perkara itu ditekankan oleh penyerang PJ City FC, Darren Lok dan berdasarkan pengalamannya ia bukan sesuatu yang mudah untuk mengatasi kekuatan pertahanan JDT.

Justeru, beliau berharap sama ada dia atau rakan sepasukan yang lain perlu mempunyai sentuhan tajam pada hari perlawanan ketika berdepan JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam esok.

“Semua orang tahu kualiti yang dimiliki JDT dan mereka baharu sahaja lalui perlawanan yang besar pada minggu lalu di Piala FA dan kami tahu memang sukar tetapi kami akan berikan 100 peratus.

“Sudah tentu kami tidak akan punyai banyak peluang semasa berdepan JDT dan mereka punyai tahap disiplin yang tinggi pada situasi bertahan.

“Selain itu, mereka sudah pasti akan mengawal sebahagian besar permainan, jadi apa jua peluang yang terhidang sama ada saya atau mana-mana pemain lain, kami kena menyempurnakannya dengan sebaik mungkin,” katanya.

Kubu JDT sememangnya paling sukar ditembusi oleh mana-mana pasukan apabila sekadar bolos lapan gol dari 16 perlawanan setakat ini dan hanya sekali dibolosi sebanyak dua jaringan iaitu semasa berdepan Sri Pahang.

Manakala PJ City, mereka menjadi pasukan paling rendah menjaringkan gol daripada kalangan 12 pasukan Liga Super apabila sekadar merekodkan 16 jaringan dari 17 perlawanan.

Berada di tangga ke-10, satu atau dua lagi kemenangan akan meletakkan PJ City dalam situasi yang hampir pasti untuk layak ke TM Piala Malaysia selain berpeluang memperbaiki atau menyamai kedudukan musim lalu apabila menamatkan cabaran di tempat ketujuh. – MalaysiaGazette