Filem Sayap-Sayap Patah berjaya mengutip RM40 juta di Indonesia.

KUALA LUMPUR – Filem Indonesia, Sayap-Sayap Patah mencetuskan fenomena di negara jiran itu ketika ini apabila mengutip RM40 juta dengan kehadiran dua juta penonton sejak ditayangkan pada 14 Ogos lalu.

Filem yang didaptasi sebuah kisah benar yang menyentuh perasaan menampilkan lakonan Nicholas Saputra, Ariel Tatum, rapper terkenal, Indonesia Iwa K, Popi Sovia, Ariyo Wahab, Edward Akbar, Dewi Irawan dan Revaldo.

Ia berkisarkan tragedi berdarah yang berlaku di Lokap Mako Brimop, Kota Depok, Indonesia pada 2018 apabila sekumpulan tahanan penggganas bangkit merusuh.

Dalam kejadian yang menggemparkan seluruh negara termasuk di peringkat antarabangsa ini, pertempuran hebat tercetus dan seramai 5 anggota polis Densus 88 dibunuh dengan kejam.

Walaupun Sayap-Sayap Patah dianggap sebuah filem genre thriller, namun ia penuh dengan babak romantis dan berakhir dengan penuh tragis hingga penonton mengalirkan air mata yang dibantu skor muzik serta kesan bunyi yang memberi elemen sedih, ceria dan mendebarkan.

Roslina (kiri) bersama Nicholas dan Ariel ketika Tayangan Gala Sayap Sayap Patah.

Pengedarnya, MoreADD Holding Berhad, Roslina Abd Majid berkata, Sayap-Sayap Patah mendapat sambutan hebat kerana keistimewaannya yang menggabungkan jalan cerita penuh dramatik bersama gandingan bintang ternama di Indonesia.

“Kami sebagai pihak yang akan mengedarkan Sayap-Sayap Patah di Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam cukup terharu dengan sambutan hebat penonton Indonesia terhadap filem ini.

“Malah sekumpulan media Malaysia yang turut diundang menonton Sayap- Sayap Patah di Jakarta pada 14 Ogos lalu turut mengakui filem ini sebuah karya terbaik dan cukup mengesankan.

“Mengikut perancangan, MoreADD Holding akan menganjurkan Tayangan Gala Sayap Sayap Patah di Kuala Lumpur pada pertengahan Oktober ini diikuti dengan tayangan umum di Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam filem ini, Nicholas yang digilap bakat oleh Rudi Soedjarwo menerusi filem Ada Apa Dengan Cinta (AADC) kira-kira 20 tahun lalu melakonkan watak Adji salah seorang anggota Densus 88 yang juga suami kepada Nani (Ariel Tatum).

Filem lain arahan Rudi termasuklah 9 Naga, Tentang Dia, Mengejar Matahari, 40 Hari Bangkitnya Pocong dan Mendadak Dangdut.

Sayap Sayap Patah diterbitkan aktivis sosial media terkenal Denny Siregar bersama Yoen K.

Lagu Ku Tunggu Senyummu dendangan Ipang Lazuardi telah dipilih menjadi lagu runut bunyi (OS) filem blockbuster ini. – MalaysiaGazette

Filem Sayap-Sayap Patah menampilkan lakonan Nicholas Saputra,