zaid ibrahim majlis peguam agong
Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Majlis Peguam diingatkan supaya jangan bersikap melampau dan kurang ajar dalam mempersoalkan isu pengampunan diraja terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Peguam, Datuk Zaid Ibrahim berkata, kenyataan Majlis Peguam semalam berhubung isu tersebut dianggap melampau, seolah-olah memberi tekanan kepada Yang di-Pertuan Agong agar tidak mengurniakan pengampunan.

“Ini sudah kurang ajar. Kita hormatlah. Tuanku tahulah nak ampun ke, tak nak ampun ke, pertimbangan baginda.

“Sebab itulah baginda Agong, baginda ketua negara. Kalau kita nak ajar baginda, satu hari nanti bila baginda buat satu-satu keputusan kita akan pertikaikan.

“Kalau raja-raja Melayu dipertikaikan sampai begitu sekali, apa nak jadi negara ini?” katanya daripada rakaman video yang dimuat naik dalam laman Facebook beliau, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Majlis Peguam, Karen Cheah semalam yang menyatakan, pengampunan diraja terhadap Najib akan dianggap sebagai tindakan mempersendakan prinsip keluhuran undang-undang dan sistem keadilan di negara ini.

Zaid turut mempersoalkan apa motif pihak tertentu yang melancarkan serangan bertubi-tubi sejak dua minggu lalu berhubung isu pengampunan diraja terhadap Najib.

Beliau sekali lagi mengingatkan bahawa prerogatif belas kasihan dan pengampunan adalah soal peribadi Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu.

Pada masa yang sama, Zaid memberi perbandingan tentang situasi di negara lain di mana bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi pengampunan kepada 70 kontraktor Blackwater yang terlibat dalam pembunuhan kejam 17 rakyat Iraq termasuk kanak-kanak di Baghdad pada 2006.

“Tak ada orang kata sistem keadilan AS terjejas kerana mereka menghormati itulah kuasa pengampunan yang diberi kepada ketua negara.

“Yang saya sedih, tekanan yang dibuat kepada Agong sudah melampau, seolah-olah ini satu tekanan supaya pengampunan tidak diberi,” jelasnya.

Beliau turut meminta UMNO bertegas dalam isu pengampunan terhadap Najib agar parti itu tidak dilihat takut kepada Majlis Peguam dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Zaid berkata, UMNO perlu bersikap demikian supaya tiada pihak yang bertindak melampau dalam mempertikatkan kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.

“Ini yang saya bimbang, budaya kurang ajar ini kalau kita tidak bendung, kalau UMNO dilihat lemah, saya tak tahu apa akhirnya akan berlaku,” katanya.

Sementara itu, beliau berharap Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memastikan Najib diberi ubat yang bersesuaian dengan beliau.

“Takkanlah bekas Perdana Menteri tak boleh pakai ubat yang dia guna selalu. Tak usahlah beri ubat generik. Kalau kita beri sedikit keistimewaan kepada dia pun apa salahnya,” jelasnya.

Zaid berkata, pemberian ubat mengikut preskripsi kepada Najib tidak sepatutnya dianggap sebagai layanan luar biasa dan perkara itu di bawah budi bicara Menteri Kesihatan.

“Kalau kita pemimpin, kita tak tahu nak guna budi bicara, maka kita tak boleh jadi pemimpinlah.

“Kita perlu jadi bijaksana tetapi adil kepada semua termasuk banduan terutamanya bekas Perdana Menteri. Dia ada jasa juga kepada kita,” katanya. – MalaysiaGazette