KUALA LUMPUR – Putrajaya akan terus komited bagi memastikan pemeliharaan kekayaan biodiversiti negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Justeru itu, beliau berkata, kerajaan akan memastikan usaha ke arah itu akan diutamakan dalam dasar-dasar kerajaan.
“Kerajaan akan terus komited dalam memastikan dasar kerajaan mengutamakan keperluan untuk memelihara kekayaan biodiversiti negara serta kepesatan pembangunan adalah mesra alam bagi manfaat generasi akan datang,” katanya selepas menghadiri Majlis Aspresiasi Pavilion Malaysia Dubai 2020 di ibu negara malam ini.
Hadir sama adalah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Jelas Ismail Sabri lagi, pembangunan yang inklusif dan mampan merupakan tulang belakang kepada pertumbuhan Malaysia di mana tenaga boleh diperbaharui, ekonomi berpaksikan rakyat, teknologi hijau dan mitigasi perubahan iklim menjadi antara pemacu pemerkasaan ekonomi.
“Di Ekspo 2020 Dubai, pengisian Pavilion Malaysia tercetus daripada tema, pemangkin dasar dan pemacu perubahan yang digariskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
“Pavilion ‘Kanopi Hutan Hujan’ yang diilhamkan bersumberkan hutan tropika Malaysia seperti Taman Negara Endau-Rompin melambangkan hubungan sinergi antara kemajuan ekonomi, sosial dan alam sekitar di Malaysia,” jelasnya.
Ekspo 2020 Dubai, kata Ismail Sabri, mampu untuk menarik melepasi sasaran pulangan perdagangan dan pelaburan sebanyak keseluruhannya berjumlah RM77.25 bilion selama enam bulan diadakan.
“Selain itu, sejumlah 4,971 pertanyaan perniagaan turut direkodkan dan bagi memaksimumkan peluang perdagangan dan perniagaan, Pavilion Malaysia yang mewakili penyertaan negara pada ekspo berkenaan juga berjaya mengadakan sebanyak 2,555 sesi padanan perniagaan secara fizikal dan maya,” katanya.
Secara keseluruhannya, Pavilion Malaysia telah menerima sejumlah 1.2 juta pengunjung.
Malah ia disenaraikan sebagai satu daripada lima pavilion paling hijau dan merupakan antara tujuh pavilion paling digemari oleh media antarabangsa.
Untuk rekod, Ekspo 2025 Osaka akan diadakan di Jepun anjuran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri. – MalaysiaGazette