Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hadir ke mahkamah menghadiri prosiding bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 14 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR. Perbicaraan berprofil tinggi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Datuk Seri Najib Razak ditangguhkan selepas dimaklumkan keadaan terkini bekas perdana menteri itu yang masih sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Peguam utama yang mewakili Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu mahkamah anak guamnya sedang menerima rawatan susulan daripada alahan ubat yang telah diberikan kepadanya baru-baru ini.

Beliau berkata di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah yang Najib ketika ini sendiri tidak pasti berapa lama beliau akan menerima rawatan di HKL.

“Saya sendiri hanya dapat menemui anak guam selepas tiga jam, beliau memberitahu saya (dia) masih lagi mendapat rawatan harian dan belum mendapat tahu bilakah beliau akan discaj dari HKL.

“Untuk makluman, anak guam saya juga telah diberikan sijil sakit (MC) yang telah diberikan oleh Jabatan Penjara antara 14 dan 15 September selepas membuat pemeriksaan perubatan ke atasnya. Pada masa ini juga Datuk Seri Najib masih lagi sedang dirawat di Wad 21 di HKL,” katanya.

Ketidakhadiran Najib untuk prosiding hari ini juga tidak mendapat sebarang bantahan daripada pasukan pendakwaan.

Collin kemudian menetapkan prosiding 1MDB membabitkan penyewelengan dana RM2.3 bilion itu akan bersambung pada 26 September depan.

Untuk makluman, kelmarin, anak perempuan Najib, Nooryana Najwa memaklumkan doktor mengesan beberapa ulser dalam perut bapanya dan berlaku pendarahan ketika membuat rawatan di HKL.

Dakwa Nooryana atau lebih dikenali sebagai Yana, tekanan darah Najib terlalu tinggi  dan berkemungkinan disebabkan berlaku pertukaran ubat.

Namun petang semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan Najib diberikan jenis ubat sama seperti sebelum ini ketika beliau menerima rawatan di HKL, dan ubat diberikan berada dalam senarai ubatan KKM.

Ahli Parlimen Pekan itu ketika ini sedang menjalani hukuman penjara susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos lalu mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta selepas didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast