Nafuzi Zain. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 10 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Pengendali Terengganu FC, Nafuzi Zain enggan melihat Sabah dan Negeri Sembilan sahaja sebagai pencabar sengit sebaliknya tetap berwaspada dengan Kuala Lumpur City FC yang boleh bangkit mengejar kedudukan untuk layak ke Piala AFC 2023.

Jelas beliau, apa yang perlu dilakukan oleh Terengganu memastikan mereka tidak tercicir mata dalam baki kesemua perlawanan akan datang untuk cuba layak ke Piala AFC selepas kali terakhir layak pada musim lalu sebelum kejohanan itu dibatalkan.

“Peluang itu masih terbuka sekarang ini dan yang paling penting adalah kita kena menang dalam semua baki perlawanan.

“Kuala Lumpur pun ada kemungkinan boleh mencabar kedudukan dan sekarang kita tidak boleh nak lihat pasukan yang berada di atas sahaja sebab yang bawah pun sedang mengekori rapat juga.

“Yang penting, selepas aksi final tempoh hari, ia bukanlah pengakhiran untuk pasukan sebab banyak yang kita belajar dan pemain-pemain terutamanya pemain muda juga banyak belajar daripada pengalaman itu.

“Mereka tahu yang paling penting sekarang adalah perlawanan liga untuk layak ke Piala AFC dan akan kembali fokus”, katanya. – MalaysiaGazette