Seramai 22 orang nelayan Indonesia yang ditangkap oleg MAritim Pulau Pinang.

 

GEORGETOWN – Kapal Maritim (KM) Nyalau Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah bot nelayan asing Indonesia yang menceroboh perairan negara di kedudukan 51.9 batu nautika barat daya Pulau Kendi, sekitar jam 2.50 petang semalam dalam rondaan rutin operasi bersepadu iaitu Op Benteng Laut.

Menurut Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kapten Maritim Abd Razak Mohamed, bot nelayan asing dari Indonesia itu ditahan ketika sedang melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan negara.

Hasil pemeriksaan mendapati, bot nelayan KM Sumber Lestari itu dikendalikan oleh 22 kru termasuk tekong kesemua warga Indonesia berumur lingkungan 20 hingga 56 tahun.

Ketika diperiksa kesemua mereka tidak memiliki dokumen pengenalan diri iaitu passport dan ditahan sebelum dibawa ke Maritim Negeri Pulau Pinang serta diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti perikanan dalam perairan Malaysia tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu berada di Malaysia tanpa suatu pas yang sah.

Orang ramai dan persatuan-persatuan nelayan diseru untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat dan melaporkan sebarang aktiviti kesalahan di laut.

Sebarang aduan boleh disalurkan ke talian 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang 04-2626146.- MalaysiaGazette