PUTRAJAYA – Seorang pengawai penjara terpaksa menjalani hukuman penjara tiga tahun mulai hari ini selepas gagal dalam rayuan terakhirnya untuk mengetepikan sabitan bersalah menerima suapan RM3,000 daripada seorang banduan yang didapati positif dadah.
Mohd Zamri Abdullah, 43, yang bebas dengan ikat jaminan RM15,00 sementara menunggu penyelesaian kes rayuannya, kelihatan memeluk isterinya yang sebak sebelum dibawa ke lokap mahkamah.
Panel tiga hakim dipengerusikan oleh hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abdul Karim Abdul Jalil serta ahli panel, hakim Mahkamah Rayuan, Datuk See Mee Chun dan hakim Mahkamah Tinggi, Azizul Azmi Adnan menolak rayuan mengetepikan sabitan, hukuman penjara dan denda RM15,000 terhadap Mohd Zamri.
Dalam keputusan tersebut, Abdul Karim berkata, hakim Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Sesyen tidak terkhilaf dengan keputusannya yang membolehkan panel berkenaan campur tangan.
Menurutnya, tiada merit dalam rayuan tersebut dan sabitan atas kesalahan itu adalah selamat.
Beliau kemudian mengeluarkan waran komital terhadap Mohd Zamri untuk memulakan hukuman penjara.
Pada 9 Sept, 2018, Mahkamah Sesyen Kota Bahru menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM15,000 terhadap Mohd Zamri selepas dia didapati bersalah menerima rasuah daripada Mohd Fakhrul Akashah Mat.
Suapan tersebut adalah sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap banduan, Wan Muhammad Azlan Wan Mahamod, yang sedang menjalani hukuman pejara lapan tahun atas kesalahan dadah, didapati positif dadah pada 12 Nov 2016.
Mohd Zamri sudah menjelaskan denda tersebut.
Dia melakukan kesalahan itu di kuarters Penjara Pengkalan Chepa di Jalan Maktab, Pengkalan Chepa, Kelantan, pada jam10.15 malam, 20 Dis 2016.
Mengikut fakta kes, Wan Muhammad Azlan mengatur wang RM3,000 tersebut diberikan kepada Mohd Zamri melalui seorang kawan.
Tetapi, pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memasang perangkap dan Mohd Zamri ditahan bersama dengan wang itu di kuartersnya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wong Poi Yoke manakala Mohd Zamri diwakili peguam Cheah Poh Loon dan Shaharuddin Mohamed. – BERNAMA