Mohd Akmal Kamarudin

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Sains dan Teknologi Hijau negeri Mohd Akmal Kamarudin berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sedang menyiasat punca kematian seorang pengendali makanan di sebuah pusat latihan kakitangan KKM di Taiping tiga minggu lepas, sama ada disebabkan oleh keracunan makanan ataupun penyakit lain.

“Seramai 50 orang mangsa keracunan makanan dalam kes itu adalah merupakan kakitangan KKM dan pengendali makanan, manakala si mati merupakan penyedia makanan daripada sebuah katerer luar dan bukanlah kakitangan KKM, yang diperkatakan oleh orang awam,” katanya.

Menurutnya setakat ini keracunan makanan melibatkan enam kejadian di premis sekolah seramai 169 kes, lapan kejadian di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) melibatkan 572 mangsa, dua kejadian di premis kilang seramai 66 mangsa, lima kejadian melibatkan 24 mangsa di rumah persendirian, satu kejadian berpunca daripada makanan yang disediakan oleh katerer luar dan satu insiden berlaku di penjara melibatkan 22 orang mangsa.

“Bagi mengekang kejadian ini daripada berulang, pihak KKM melalui Jabatan Kesihatan negeri akan melakukan kekerapan pemeriksaan ke atas premis makanan dan memperluaskan skop kawalan keselamatan makanan, melalui aktiviti pensijilan dan pelesenan termasuk kepada pengendali makanan secara dalam talian.

“Kita turut menggalakkan agar mana-mana agensi yang melakukan majlis untuk mendapatkan perkhidmatan katerer yang mempunyai sijil dan lesen, kerana mereka sentiasa dipantau dan diberi tunjuk ajar oleh pihak KKM,” katanya. – BERNAMA