Najib Razak

GEORGE TOWN – Selepas Selangor, Kerajaan Pulau Pinang pula menarik balik darjah kebesaran yang dikurniakan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Penarikan pingat yang membawa gelaran Datuk Seri Utama pada 2009 itu berkuat kuasa hari ini.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Pulau Pinang, Mohd Zakuan Zakaria memaklumkan Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Ahmad Fuzi Abdul Razak bersetuju kerajaan negeri membatalkan darjah kebesaran Najib itu.

Ia ekoran keputusan Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos mengekalkan sabitan dan hukumannya dalam kes SRC International.

“Najib telah dikurniakan Keahlian Darjah Utama Pangkuan Negeri (D.U.P.N.) yang membawa gelaran Dato’ Seri Utama pada tahun 2009.

“Berdasarkan sabitan dan hukuman yang telah dijatuhkan terhadap beliau, keahlian beliau sebagai penyandang Darjah Utama Pangkuan Negeri (D.U.P.N.) yang membawa gelaran Dato’ Seri Utama adalah dibatalkan dan dimansuhkan berkuat kuasa pada 15 September 2022.

“Pembatalan dan pemansuhan Keahlian ini adalah selaras dengan kuasa yang diberikan kepada Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang menurut Perkara 6 dan 8 Perlembagaan Negeri Pulau Pinang serta Peraturan 18 Statut Darjah Pangkuan Negeri 2011,” kata satu kenyataan hari ini.

Sebelum itu, pada 12 September lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah menarik balik darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk dan Datuk Seri yang dikurniakan kepada Najib pada 1992 dan 2004.

Bagaimanapun, Najib masih lagi mempunyai gelaran Datuk Seri dari beberapa negeri lain iaitu, Pahang, Perak, Melaka, Kedah, Perlis, Sabah dan Sarawak.- MalaysiaGazette