Wajah sebak Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran semasa menziarahi mendiang bekas Presiden MIC, Tun S Samy Vellu sebagai penghormatan terakhir di kediamannya di Taman Kaya Batu 3, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 15 SEPTEMBER 2022

KUALA LUMPUR – Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran gagal mengawal emosi dan menangis selepas hadir memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Tun S. Samy Vellu di sini hari ini.

Malah beliau seperti hilang kata-kata ketika diserbu wakil media selepas itu yang mahu ulasan mengenai bekas Presiden MIC dan Menteri Kerja Raya itu.

Beliau berkata, pemergian Samy sememangnya satu kehilangan besar secara peribadinya kepadanya.

“Ketika bapa saya meninggal sekitar 1986, ketika itu saya masih lagi muda dan tidak mengenalinya. Beliau (Samy)  datang ke pengebumian bapa kami, bersandar pada pintu kemudian menangis.

“Selepas itu, soalan pertama yang keluar dari mulutnya, anak pertama buat apa? Belajar? Berapa ramai di rumah? Adakah mendiang bapa kami meninggalkan sebarang hutang, ada apa-apa isu dan masalah?

“Mungkin pengalaman orang lain dengan Tun berbeza tapi dengan saya ianya sungguh beremosi sekali. Beliau juga seperti bapa saya.

“Saya menjadi pemimpin hari ini atas jasa beliau. Mungkin ada sedikit perbezaan pandangan serta isu antara kami tetapi hubungan ini sangat rapat,” katanya lagi.

Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran bersama timbalannya, Datuk Seri M. Saravanan menziarahi mendiang bekas Presiden MIC, Tun S Samy Vellu sebagai penghormatan terakhir di kediamannya di Taman Kaya Batu 3, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 15 SEPTEMBER 2022

Sambung Vigneswaran, pemergian Samy juga seperti hilang tiada ganti kepada komuniti India di negara ini.

“Mendiang bukan sahaja ikon tetapi menteri lebih 29 tahun dalam Kabinet. Beliau menerajui MIC puluhan tahun. Beliau banyak jasanya. Saya hendak mula dari mana? Ini satu kehilangan cukup besar buat semua. MIC akan terus ingat pada jasa beliau dan paling penting menyambung perjuangan beliau membela nasib komuniti.

“Tengok hari ini, berapa ramai tangisi pemergian beliau ini? Tidak kira anda kerajaan mahu pun pembangkang. Semuanya mengiktiraf jasa, perjuangan, kelantangan, ketokohan dan kepimpinannya. Semua menerima dan memahami perjuangan beliau, ketokohan beliau sebagai pemimpin cukup hebat ini,” katanya.

Sambung beliau, ramai pemimpin khasnya dalam MIC hari ini adalah hasil didikan Samy.

“Bagi kami seperti diri saya dan Datuk Saravanan yang sedang menerajui parti pada hari ini, kami muncul hasil kepimpinan dan tunjuk ajarnya. Kami adalah anak didiknya, kami di asah ketika muda lagi sehingga menjadi pemimpin pada hari ini. Sememangnya ini satu kehilangan besar buat kami.

“Kami akan terus mengingati Tun sehingga bila-bila, untuk menjadi seorang pemimpin seperti amat mustahil sekali termasuklah diri saya sendiri. Usia politik Tun lebih empat dekad untuk tanah air dan rakyat tidak boleh dipertikaikan sehingga bila-bila,” katanya. -MalaysiaGazette