Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di kediaman mendiang bekas Presiden MIC Tun S Samy Vellu bagi memberikan penghormatan terakhir di kediamannya di Taman Kaya Batu 3, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 15 SEPTEMBER 2022

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob menyifatkan pemergian Tun S. Samy Vellu  hari ini sebagai satu kehilangan besar kepada negara.

Naib Presiden UMNO itu menyifatkan bekas Presiden MIC itu sebagai pemimpin yang sangat hebat terutama  sumbangan kepada masyarakat India dan negara.

“Saya mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang Tun Samy Vellu dan negara telah kehilangan seorang pemimpin yang sangat hebat, jasanya amat besar sekali bukan sahaja kepada seluruh masyarakat India di negara ini tetapi juga jasanya amat besar kepada negara dari segi pembangunan sepanjang menjadi Menteri Kerja Raya.

“Banyak sumbangan yang diberikan Tun (Samy Vellu) dan dari segi masyarakat India kita boleh menganggap Tun Samy Vellu sebagai bapa penyatuan masyarakat India,” katanya ketika ditemui pemberita di kediaman mendiang di sini hari ini.

Beliau telah hadir pukul 12.14 tengahari dan meluangkan masa kira-kira 20 minit memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang dan mengucapkan takziah kepada ahli keluarganya.

Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Azeez Abdul Rahim dan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan antara pemimpin Barisan Nasional yang hadir memberi penghormatan terakhir kepada mendiang.

Tambah Ismail Sabri, Samy Vellu banyak menyumbang meningkatkan sosio ekonomi dan pendidikan masyarakat India.

“Seperti saya nyatakan tadi, bukan sahaja kepimpinan dan keluarga MIC atau masyarajat India merasai kehilangan Tun malah negara juga meratapi pemergian Tun sebab jasanya begitu besar kepada negara,” tegasnya.

Samy Vellu yang juga bekas duta khas berstatus menteri ke Asia Selatan dan India berusia 86 tahun menghembuskan nafas terakhir di kediaman beliau kerana sakit tua sekitar pukul 3.30 pagi tadi di Taman Kaya, Batu 3 1/2, Jalan Ipoh hari ini.

Kunjungan orang kenamaan dan juga awam memberi penghormatan terakhir bermula 2 petang ini sebelum  dikebumikan di Pusat Krematorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Jalan Kuari Taman Pertama, Cheras pukul 4 petang esok. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Bekas Presiden MIC meninggal dunia