Kehilangan ibu sememangnya menjadi detik yang amat meruntun perasaan apatah lagi jika takdir itu berlaku ketika seseorang anak telah lama ketiadaan ayah. Itu yang berlaku kepada Anisah.
Selepas kehilangan ayahnya ketika dia masih kecil, Anisah terpaksa menempuh berita duka apabila ibu kesayangannya pula menjadi mangsa kerakusan pemandu di jalan raya. Wanita gigih yang membesarkan Anisah dengan hasil pendapatan sebagai tukang jahit pergi buat selama-lamanya.
Tentunya Anisah yang masih mentah terkapai-kapai. Umpama kapal kehilangan nakhoda, dia pasrah menerima perjalanan takdir yang ditentukan Allah SWT. Lebih pilu, niat Anisah untuk membalas jasa dan pengorbanan ibunya tidak kesampaian.
Mendung tidak selamanya
Tiga wanita gigih berstatus ibu tunggal ini satu masa dulu pernah dibelenggu kesempitan hidup, malah ada kalangan mereka menjadi mangsa penderaan rumahtangga. Berbumbungkan kedai jahit yang dinaungi Madam Ai Ling Yeoh, mereka sama-sama mencari rezeki sambil menepis persepsi perkauman lantaran mereka bersatu jiwa atas nama Malaysia.
Anisah dibesarkan tiga ibu yang mengetepikan faktor perbezaan warna kulit dan agama demi memastikan cita-citanya untuk menjadi pereka fesyen, sekaligus menyambung legasi ibunya menjadi kenyataan.
Apa nasib Anisah…Tontoni video ini yang diterbitkan PERKESO sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022
TONTON Video: https://www.facebook.com/PERKESO.Official/videos/410472884408114/?extid=NS-UNK-UNK-UNK-IOS_GK0T-GK1C
Menyingkap mengenai penghasilan video berdurasi hampir enam minit ini, Ketua Eksekutif PERKESO, Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman bin Dato’ Aziz Mohammed berkata, ia merupakan cetusan idea bagi menzahirkan rasa cinta dan bangga rakyat Malaysia yang hidup dalam keadaan yang aman dan harmoni walaupun berbeza kaum, bangsa dan agama.
“Kemerdekaan yang dinikmati negara selama 65 tahun tidak akan tercapai, sekiranya tiada nilai perpaduan dan toleransi yang utuh wujud dalam diri setiap rakyat di negara ini,” katanya.
Mohamed Azman menarik perhatian satu pepatah Melayu ‘Serumpun bak serai, sesusun bak sirih’ di mana permuafakatan yang terjalin dalam masyarakat perlulah sentiasa dipupuk dan diamalkan sebagai Keluarga Malaysia yang saling menghormati dan mengasihi sesama kita. PERKESO juga turut berbangga menjadi sebahagian daripada perjalanan kehidupan rakyat Malaysia sepanjang lebih setengah abad yang lalu
Sementara itu, Izad Haji Raya yang merupakan Ketua Pegawai Komunikasi dan Hal Ehwal Korporat PERKESO turut berkongsi pandangan.
“’Jalinan Harmoni’ mengangkat tema pengorbanan, kasih sayang, tanggungjawab dan keprihatinan yang wujud dalam masyarakat kita tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya.
“Sebagaimana kita akhirnya kembali ‘merdeka’ setelah berdepan pandemik untuk meraikan Hari Kebangsaan secara terbuka dengan seluruh rakyat Malaysia pada tahun ini, kami juga ingin mengajak orang ramai untuk sama-sama menghayati makna sebenar ‘Teguh Bersama’ dalam konteks masyarakat majmuk di negara ini,” katanya.
“Ia juga memaparkan kisah sebenar segelintir masyarakat yang diuji dengan pelbagai dugaan kehidupan dan bagaimana PERKESO memainkan peranannya selaku peneraju perlindungan keselamatan sosial di negara ini untuk meringankan bebanan yang digalas serta membantu mereka meneruskan kehidupan menerusi faedah-faedah di bawah skim perlindungan sosialnya,” katanya.