KUALA LUMPUR – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA) memperluas usaha untuk mengoptimumkan penggunaan teknologi revolusi perindustiran keempat (IR4.0) demi manfaat anggotanya dan negara untuk jangka panjang.
Timbalan presidennya, Prof Madya Datuk Dr. Abdul Rahman Abdul Razak Shaik berkata, langkah tersebut bukan sahaja membantu masalah tenaga kerja malah dapat menjamin sekuriti makanan negara.
“Memang tugas kami juga untuk sama-sama (memperkasakan penggunaan IR4.0), sekarang kami ada kerjasama dengan MPOB (Lembaga Minyak Sawit Malaysia), Lembaga Koko dan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara.
“Dalam pertanian dan perladangan belum tetapi boleh terokai. Jadi, kita boleh jalin kerjasama dengan Koperasi Nammavargal Malaysia Berhad, menggalakkan ahli buat pertanian dan ternakan… koperasi kumpulan pertanian dan penternakan,” kata beliau.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Koperasi Nammavargal Malaysia Berhad dan menyaksikan Majlis Memeterai Perjanjian Kolaborasi Di Antara Koperasi Nammavargal Malaysia Berhad dan Sakya Agroeconomy Private Limited bagi menerokai dan mengoptimumkan teknologi terkini dalam pertanian dan pemasaran industri pertanian.
Bagi pihak Koperasi Nammavargal Malaysia Berhad, perjanjian berkenaan ditandatangani oleh Timbalan Pengerusinya, M.A. Thirumugam dan Setiausaha Koperasi, M, M. Kumaresan manakala Sakya Agroeconomy Private Limited pula diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Sakya Capital Limited, K. Kuresan dan Pengarah Urusannya, Dr Thangarasu Muthamil Selvan.
Abdul Rahman berkata, model digunakan oleh Koperasi Nammavargal Malaysia Berhad dalam aspek mengumpul dan memasarkan hasil pertanian adalah menarik kerana menggunakan teknologi dron.
“Jadi perkara ini menarik. Peranan koperasi dalam kumpul dan mengedarkan hasil tani terutama dengan menggunakan teknologi dron dan sebagainya.
“Dengan langkah yang dilakukan oleh koperasi ini juga akan memberi contoh kepada koperasi-koperasi lain,” tambahnya.
Dalam pada itu, Pengerusi Yayasan Nammavar Malaysia, Datuk Vyran T. Raj berkata, menerusi Koperasi Nammavargal Malaysia Berhad, Yayasan Nammavar Malaysia meletakkan sasaran untuk menjalin kerjasama dengan koperasi-koperasi di seluruh negara dalam penggunaan IR4.0.
Ia termasuk penggunaan teknologi dron dalam membangunkan industri pertanian dan memasarkan hasil industri tani.
“Kami bersedia untuk menjalin kerjasama dengan ANGKASA dan juga koperasi-koperasi di negara ini dalam memperluaskan penggunaan teknologi moden dan terkini, antaranya IR4.0 bagi memajukan sektor pertanian dan hasil tani.
“Minggu depan kami akan mengadakan dengan beberapa agensi GLC bagi tujuan ini,” katanya.
Jelasnya, pihaknya berpandangan koperasi-koperasi berteraskan sektor pertanian di Malaysia wajar menerokai IR4.0 bagi meningkatkan pulangan, hasil dan keuntungan demi memanfaat para pemegang taruh.
“Bagi tujuan itu, Yayasan Nammavar Malaysia akan menjalin kerjasama dengan kesemua koperasi dalam negara bagi mengoptimumkan teknologi terkini, sekali gus mencapai objektif kerajaan,” kata beliau.
Malah, kata Vyran, Yayasan Nammavar Malaysia juga percaya bahawa kerjasama Koperasi-Dengan-Koperasi (K2K) ini akan membantu menyelesaikan masalah kekurangan tenaga kerja serius yang disaksikan sekarang, dan pada masa yang sama menyumbang kepada penyelesaian isu sekuriti makanan dalam jangka panjang serta menambah pendapatan ahli koperasi.-MalaysiaGazette