mahfuz omar
Mahfuz Omar (tengah) bergambar bersama perwakilan pada Konvensyen Pemuda Amanah Nasional Tahun 2022 di Palm Seremban Hotel, Seremban. Foto AMIRUL SHAUFIQ 16 SEPTEMBER 2022.

SEREMBAN – Parti Amanah Negara (Amanah) mendakwa Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang didakwa cuba menanam bibit kebencian dalam kalangan rakyat apabila menuduh Pakatan Harapan (PH) telah menjadi tempat mereka yang anti-Islam dan anti-Melayu berkumpul.

Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berkata, kenyataan Abdul Hadi itu sangat tidak baik untuk negara kerana ia bukan sahaja menakut-nakutkan rakyat malah mencetuskan kebencian.

Menurut beliau, semua pihak sepatutnya membawa politik yang harmoni, murni serta damaiĀ  bukan membina masyarakat dengan pendekatan politik permusuhan.

“Saya nasihatkan kepada Presiden Pas harus ingat bahawa di hujung-hujung usia ini beliau harus memberikan satu peninggalan yang lebih baik untuk generasi kita yang akan datang dan bukannya membawa politik kebencian yang boleh merobek dan meruntuhkan negara kita.

“Kita mesti membina Malaysia sebagai rumah kita, bukan membina Malaysia dengan kemusnahan dan perbalahan atas bibit-bibit perkauman dan keagamaan yang sempit,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pemuda Amanah di sini hari ini.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata demikian ketika diminta kenyataan Abdul Hadi semalam bagi menjelaskan mengapa Pas enggan bekerjasama dengan PH sejak sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Berhubung pembahagian kerusi menjelang PRU-15, Mahfuz menyatakan, Amanah sedang berunding untuk mendapatkan kerusi boleh menang termasuk untuk calon-calon muda dari parti itu.

Beliau menambah, Amanah juga sedang dalam proses pemilihan termasuk pemimpin-pemimpin muda yang dicalonkan oleh kawasan masing-masing.

“Yang tiada nama, insya-Allah kita masukkan nama mengikut keperluan di kerusi-kerusi tertentu,” jelasnya.

Mahfuz memberitahu, senarai calon akan diserahkan selepas Parlimen dibubarkan.

Berhubung permohonan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) untuk menyertai PH, beliau menyerahkan kepada Majlis Presiden untuk membuat keputusan.

“Saya serahkan kepada Majlis Presiden untuk membuat ketetapan tentang pengagihan kerusi dalam komponen termasuk Muda yang ingin menyertai PH,” katanya. – MalaysiaGazette