51 peserta kayuhan sejarah keliling Bandaraya Kuantan sempena cuti sambutan Hari Malaysia

KUANTAN – Macam-macam cara rakyat di negara ini menyambut Hari Malaysia hari ini.

Salah satunya menunggang basikal beramai-ramai seperti dilakukan Kelab Basikal Klasik Kuantan di sini dan hari ini seramai 51 ahlinya mengayuh basikal sejauh lapan kilometer mengelilingi bandar raya ini sambil menanam semangat patriotisme.

Kayuhan yang bermula di Taman Kerang pukul 8 pagi  melalui Jalan Teluk Sidek seterusnya menghalang ke simpang empat Tanjung Lumpur dan melalui Jalan Besar Kuantan sebelum berakhir di Taman Kerang.

Ahli Jawatankuasa Kelab Basikal Klasik Kuantan, Faizal Izwa Nawi, berkata, program yang dinamakan Kayuhan Sejarah itu diadakan kali pertama pada perarakan kemerdekaan pada 31 Ogos lalu.

“Kayuhan Sejarah diadakan hari ini juga mahu menghidupkan suasana sambutan Hari Malaysia dan sekali gus mengingati hari penubuhan negara yang ke-59 tahun pada 16 September.

“Walaupun saya bukan pakar sejarah tetapi saya meminatinya dan suka berkongsi tentang kisah kawasan bersejarah di sekitar Kuantan,” katanya.

Melalui program yang sama, para peserta dapat belajar tentang sejarah kerana setiap kayuhan basikal akan berhenti di beberapa lokasi  terpilih yang mempunyai nilai sejarah tersendiri.

Aktiviti tersebut dianjurkan oleh kelabnya dengan kerjasama Rumah Klasik Kuantan disertai peserta pelbagai peringkat umur.

“Setiap tempat yang menjadi persinggahan, sesi penerangan tentang sejarah akan diberikan sebagai informasi kepada peserta dan ini secara tidak langsung mereka memperoleh ilmu juga mengharapkan program seumpama ini diteruskan lagi.

“Lokasi kawasan bersejarah termasuk bangunan yang masih ada atau terbengkalai, jadi mereka dapat menahami dan menghayati tentang sesuatu kawasan mahupun bangunan yang terdapat di sekitar bandar ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast