KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan beliau tidak mempunyai sebarang masalah peribadi dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Sebaliknya, Presiden UMNO itu berkata, hubungannya dengan Perdana Menteri masih kental.
Malah, Ahmad Zahid berkata, beliau dan Perdana Menteri akan bekerjasama dan bertempur bersama-sama dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti.
“Saya tahu ramai yang melihat bahasa tubuh kami, seluruh negara perhati.
“Hubungan kami kental dan kita perlu membina kekuatan itu,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Jentera Pemuda Barisan Nasional (BN) di Stadium Titiwangsa, di sini, hari ini.
Ucapan yang disaksikan di depan lebih 10,000 orang Pemuda Barisan Nasional itu menjawab pelbagai desas-desus mengenai kedua-dua pemimpin UMNO itu.
Turut hadir Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hassan, Presdien MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Presiden MIC, Tan Sri Sri S Vigneswaran.
Hadir sama Perdana Menteri, yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan dua lagi timbalan lain, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin.
Sejak kebelakangan ini, wujud spekulasi kuat yang mendakwa UMNO kini terdiri daripada dua kem – yang menyokong Ismail Sabri dan satu lagi Ahmad Zahid. – MalaysiaGazette