Dr. Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR – Peratusan wanita sebagai ahli lembaga pengarah di negara ini merupakan tertinggi di Asia, iaitu 25.8 peratus berbanding purata global 19.7 peratus.

Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, melihat kepada keupayaan wanita pada hari ini, diharapkan tiada lagi mana-mana pihak yang cuba merendah-rendahkan martabat wanita.

“Wanita hari ini semakin berdikari, kuat, berani; bukan lagi lemah dan hanya mengikut arahan.

“Namun, walaupun angka dan pencapaian ini menunjukkan perkembangan yang positif, perjuangan memartabatkan wanita masih perlu diteruskan,” katanya dalam hantaran di Facebooknya.

Beliau turut berkata, di dalam sektor perkhidmatan awam pula, 38.2 peratus daripada jawatan peringkat pembuat keputusan, iaitu di Gred Utama C dan ke atas dipegang oleh wanita.

“Jika hendak disenaraikan pencapaian wanita ini, senarainya akan berjela-jela.

“Saya sedar hakikat ini. Dalam Konvensyen Wanita Barisan Nasional 2022, dengan bertemakan ‘Wanita Pemacu Kestabilan Negara’ pelbagai resolusi telah dibentangkan.

“Resolusi ini merangkumi pelbagai sektor antaranya pendidikan, pengajian tinggi, teknologi maklumat dan teknologi, wanita dalam pentadbiran, kebajikan dan agama, keselamatan dan sosial serta ekonomi,” katanya.

Antara cadangan yang telah dibentangkan Bantuan Khas Pendidikan, penjenamaan semula projek Rancangan Makanan Tambahan (RMT), Agensi Khas Kewangan Wanita seperti Bank Wanita, penubuhan Universiti Wanita, kelonggaran untuk bekerja dari rumah bagi memudahkan urusan penjagaan bayi dan isu kerakyatan automatik kanak-kanak yang lahir di luar negara dan beribukan warganegara Malaysia yang masih belum selesai.

“Saya juga menyedari aspek pemerkasaan wanita yang merangkumi pelbagai bidang perlu dimulakan dari peringkat awal lagi.

“Dalam menjayakan aspirasi pemerkasaan wanita, setiap peringkat wanita perlu digerakkan,” katanya.

Beliau yang juga merupakan Menteri Pengajian Tinggi berkata, beberapa inisiatif telah diambil antaranya menghimpunkan kepimpinan wanita-wanita muda yang terdiri daripada mahasiswi diseluruh negara melalui penganjuran Konvensyen Pemerkasaan Kepimpinan Mahasiswi Kebangsaan 2022 di UiTM Kampus Puncak Alam.

“Konvensyen ini bukan sahaja untuk kita mendengar suara, idea dan pandangan malah lebih lagi, mengiktiraf kepimpinan wanita muda ini, yang mana suatu hari nanti bakal mewarisi kepimpinan negara.

“Perjuangan memartabatkan wanita ini masih panjang. Saya menyeru kepada para wanita di luar sana untuk bersama-sama merancang, melaksana dan fokus dengan agenda pemerkasaan wanita di semua peringkat,” katanya. – MalaysiaGazette