Presiden AMANAH, Mohamad Sabu bercakap pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Nasional 2022 Parti Amanah Negara di Klana Resort Seremban, Negeri Sembilan. Foto MUHD NA'IM, 17 SEPTEMBER 2022.

SEREMBAN – Parti Amanah Negara (Amanah) mengesahkan parti itu telah menyelesaikan pembahagian kerusi antara parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, sehingga kini, PH berjaya mengadakan tiga kali pusingan mesyuarat yang mana semua berjalan dengan lancar.

“Kita telah berbincang dengan baik dan saya boleh sebut hampir 70 peratus pembahagian kerusi telah selesai dan berharap dimuktamad akhir bulan ini.

Salahuddin turut mengakui akan terdapat parti komponen dalam PH yang akan mendapat kerusi yang lebih di sesebuah negeri dengan mengambil kira kekuatan masing-masing.

“Contohnya macam di Johor, PKR ada tujuh kerusi Parlimen, DAP ada enam dan Amanah hanya kerusi.

“Dari situ kita akan pertimbangkan agar ada ekuiti supaya dapat bersaing dalam PRU akan datang,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Konvensyen Nasional Amanah di sini hari ini.

Baru-baru ini, DAP mengesahkan gabungan PH sudah menyelesaikan pembahagian kerusi di lima negeri minggu lepas bagi menghadapi PRU15. – MalaysiaGazette

Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub bercakap pada sidang media selepas Konvensyen Nasional 2022 Parti Amanah Negara di Klana Resort Seremban, Negeri Sembilan. Foto MUHD NA’IM, 17 SEPTEMBER 2022.