Antara pengunjung yang hadir bagi menyemarakkan lagi sambutan Hari Malaysia 2022 di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan Bandar Hilir, Melaka. Foto MUHD NA'IM, 16 SEPTEMBER 2022.

”KUALA LUMPUR –  Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan sambutan Hari Malaysia 2022 peringkat kebangsaan amat meriah dan menjadi manifestasi kebangkitan negara setelah bergelut dengan pelbagai cabaran pada tahun-tahun sebelumnya.

Perdana Menteri berkata, sambutan yang diadakan di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan Banda Hilir, Melaka malam tadi sungguh bermakna dan mengimbau kembali detik-detik laungan kemerdekaan Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahmad Putra Al-Haj.

”Bukan sahaja sambutannya amat meriah tetapi ia juga manifestasi kebangkitan Malaysia setelah kita bergelut dengan pelbagai cabaran dalam tahun-tahun sebelumnya.
”Saya bangga dengan penganjuran Hari Malaysia yang penuh gilang-gemilang ini.
Terima kasih Keluarga Malaysia ku…

“Saya bangga dengan penganjuran Hari Malaysia yang penuh gilang-gemilang ini. Terima kasih Keluarga Malaysiaku,” katanya menerusi catatan di akaun Facebooknya hari ini.

Ismail Sabri berkata, beliau terharu dengan kehadiran luar biasa Keluarga Malaysia yang terdiri daripada pelbagai lapisan bangsa, agama, budaya dan usia pada malam tadi di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan Banda Hilir, Ayer Keroh Melaka.

Tambahnya, kehadiran Keluarga Malaysia bersama-sama anak-anak kecil membanjiri Dataran Memorial ini bagi sambutan Hari Malaysia 2022 membuktikan Keluarga Malaysia menjiwai semangat patriotisme yang sangat tinggi.
”Sesungguhnya, sejarah perjalanan bumi bertuah ini penuh dengan lembaran yang berwarna warni.
”Sebagai tanah yang pernah dijajah, hari ini Malaysia berdiri utuh sebagai sebuah negara yang aman, makmur, merdeka dan berdaulat di bawah naungan Seri Paduka Baginda, Yang di-Pertuan Agong sebagai Payung Perpaduan,” ujarnya. – MalaysiaGazette