SEREMBAN – Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu menegaskan parti itu bukan milik beliau, sebaliknya dimiliki semua ahli-ahli yang berjuang tanpa mengira umur demi parti yang telah berusia tujuh tahun itu.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Raja berharap Amanah akan menjadi lebih kuat pada masa akan datang selepas beliau tidak lagi memimpin parti itu.
Pada masa sama, bekas Menteri Pertahanan itu yakin Amanah mampu menakluk negeri-negeri di Pantai Timur kerana masanya akan tiba jua seperti kemenangan yang diraih di negeri-negeri Pantai Barat.
“Kita tidak mahu parti Amanah ini dikatakan parti Mat Sabu, parti ini milik kita semua. Saya mahu parti ini lebih kuat walaupun tanpa kehadiran saya suatu hari nanti. Perjuangan kita tidak kenal muda atau tua.
“Kita akui, Amanah mempunyai beban yang sangat besar di Pantai Timur. Mohon pimpinan dan ahli di Terengganu dan Kelantan bersabar sebentar. Kita ada ramai pimpinan yang hebat-hebat di Pantai Timur, Insya-Allah sedikit masa lagi kita akan beroleh kejayaan di sana,” katanya.
Beliau berkata demikian pada ucapan penangguhan di Konvensyen Nasional Amanah, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad turut mengingat ahli Amanah agar jangan sesekali memperlekehkan rakan komponen dalam Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Tegas beliau, Amanah perlu bertanding sebagai satu pakatan dan PH perlu merangkul segenap kelebihan yang ada pada semua parti dalam kalangannya demi menjamin kemenangan pada pilihan raya.
“Konsep yang Amanah ketengahkan mesti dihayati dengan betul-betul. Islam itu rahmat buat sekalian alam. Kita perlu muncul dengan model negara dan kerajaan yang terbaik untuk dicontohi oleh negara lain,” katanya.
Mohamad juga memuji kedudukan Ahli Parlimen Amanah selepas PRU-14 yang disifatkan berjaya menampilkan prestasi yang sangat hebat.
“Kita diberikan jawatan besar dalam kerajaan dan kelima-lima menteri ini membuktikan mereka adalah yang terbaik dalam menjalankan tanggungjawab mereka.
“Kita berjaya membuktikan kualiti yang ada pada parti Amanah,” katanya.
Mohamad memberi jaminan, selepas pilihan raya akan datang, Amanah akan datang ke Konvensyen Nasional parti itu dengan puluhan Ahli Parlimen dan Ahli Undangan Dewan Negeri untuk mengambil semula kerajaan hari ini.
Beliau turut berpesan agar ahli-ahli parti yang masih muda terus bekerja kuat demi Amanah kerana pucuk pimpinan parti akan sentiasa membalas kepercayaan dan pengorbanan mereka.
“Kami abang-abang bukan tidak lihat adik-adik yang mempunyai bakat dan kelayakan untuk diangkat ke peringkat Parlimen. Buatlah kerja dengan bersungguh sungguh.
“Insya-Allah, kami akan berikan kepada adik-adik yang layak,” katanya.
Sementara itu, Konvensyen Nasional Amanah yang berlangsung selama dua hari bermula dihadiri lebih 500 perwakilan. – MalaysiaGazette