Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sebanyak enam kertas siasatan membabitkan pendakwah selebriti berusia 40-an yang disyaki melakukan amang seksual terhadap remaja lelaki dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) pada 14 September lalu.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Saaduddin berkata, empat kertas siasatan membabitkan Selangor dan dua lagi berlaku di Negeri Sembilan.

“Kesemuanya kertas siasatan yang dihantar ke TPR itu dengan cadangan suspek dituduh mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak Kanak (AKSTK).

“Manakala terdapat satu lagi kertas siasatan di Kuala Lumpur yang masih dalam tindakan polis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, setakat ini sebanyak tujuh laporan polis telah dibuat dan suspek kini dibebaskan dengan jamin polis.

Sebelum ini media melaporkan suspek telah berkenalan dengan mangsa ketika mengikuti program sesi motivasi di sekolah mereka sebelum dipujuk dan paksa melakukan perbuatan amang seksual fizikal. – MalaysiaGazette