KUALA LUMPUR – Pemergian Tun S. Samy Vellu merupakan satu kehilangan yang tiada ganti kerana mendiang telah menaburkan bakti dalam membela nasib masyarakat India selain membangunkan negara.
Timbalan Setiausaha Agung PKR, Dr Sathia Prakash Nadarajan berkata, jasa Menteri Kerja Raya selama hampir 30 tahun telah memberi impak yang besar dalam ekonomi negara.
“Tidak kira kita berada di pihak mana sekalipun, janganlah kita terlalu taksub sehingga lupa jasa seseorang dalam pembangunan negara sebelum ini. Sebut sahaja Tun Samy Vellu, saya sendiri ketika masih dibangku sekolah tahu sejarahnya.
“Hakikatnya beliau adalah seorang pemimpin yang tidak mengira perbezaan politik dalam menjalankan tanggungjawab sebagai menteri, walaupun berbeda fahaman politik, ramai akui mendiang adalah seorang pemimpin yang begitu mengambil berat kebajikan semua pihak,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Samy Vellu yang juga bekas Duta Khas ke Asia Selatan menghembuskan nafas akhirnya di samping keluarga pada awal pagi 15 September lalu pada usia 86 tahun.
Beliau pernah menerajui Kementerian Tenaga, Telekomunikasi dan Pos dari 1989 hingga 1995, yang melaksanakan penswastaan Jabatan Telekom, Lembaga Letrik Negara dan Jabatan Pos sebelum kembali ke Kementerian Kerja Raya pada 1995 hingga 2008.
Kata Sathia, beliau terkejut melihat ada kenyataan dan pandangan berbaur negatif sejurus selepas pemergian mendiang.
“Saya rasa kita tidak perlu berbuat demikian. Kita perlu ingat pada jasanya. Malah Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri melahirkan rasa takziah serta mengingati segala jasa beliau sepanjang bergelar Menteri Kabinet. – MalaysiaGazette