Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong. Foto, MOHD ADZLAN 23 JUN 2022.

KULAI – Beberapa projek berskala besar di bawah Kementerian Pengangkutan (MOT) dijangka tidak berdepan dengan sebarang kenaikan kos meskipun terdapat penyusutan terhadap nilai mata wang ringgit baru-baru ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, kesemua projek berkenaan telah dipersetujui dengan nilai yang ditetapkan sebelum ini, justeru tiada sebab untuk ditangguhkan pelaksanaan kesemuanya.

“Kesemua projek di bawah kementerian yang sedang berjalan misalnya Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan berjalan seperti biasa kerana ia telah ditawarkan pada harga ditetapkan dengan pelaksanaan sudah melebihi 30 peratus.

“Jadi sebarang kejatuhan nilai wang tidak akan menjejaskan kontrak keseluruhan, projek tetap diteruskan mengikut jadual. Bagi projek ECRL, terdapat sejumlah 1,076 tapak projek yang sedang berjalan serentak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Tahunan MCA Johor Ke-44 di sini hari ini.

Beliau berkata, projek-projek lain termasuk Transit Aliran Massa (MRT) 2, MRT 3, Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-JB Sentral (PLBEGJB) dan Sistem Transit Rapid (RTS) ke Singapura, tetap berjalan seperti dijadualkan.

Ahli Parlimen Ayer Hitam itu berkata demikian ketika ditanya sama ada kementerian akan mengkaji semula kos-kos projek berskala besar atau mempertimbangkan penangguhan projek-projek tersebut susulan penyusutan nilai ringgit.

Setakat Khamis lepas, ringgit mencecah paras terendah baharu dengan diniagakan pada 4.5340/5365 berbanding dolar Amerika Syarikat.

Pada Selasa lepas, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dilaporkan berkata Malaysia tidak mengalami krisis ekonomi meskipun penurunan nilai ringgit berbanding dolar AS ketika ini.

Mengenai Belanjawan 2023, Wee berkata, kementeriannya telah menyerahkan ‘senarai harapan’ kepada Kementerian Kewangan.

Beliau berkata, semua kementerian sememangnya mahu peruntukan yang lebih besar untuk tahun depan, namun perkara itu perlu bersandarkan kepada kemampuan kewangan semasa negara.

“Bukan sahaja Kementerian Pengangkutan, kementerian-kementerian lain juga telah serahkan senarai kehendak dan keperluan mereka tetapi kita perlu lihat realiti semasa, keputusan akan dibuat melihat kepada keutamaan,” kata Wee. – Bernama