Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran berucap pada perasmian Briged MIC Kebangsaan di Axiata Arena, Bukit Jalil. Foto MOHD ADZLAN, 18 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Presiden MIC, Tan Sri S.A.Vigneswaran mengingatkan pembangkang agar berhenti menghina Datuk Seri Najib Razak yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun dan denda RM120 juta kerana didapati bersalah menyeleweng dana Syarikat SRC International Sdn. Bhd.

Kata beliau, walaupun keputusan keputusan mahkamah tidak memihak kepada bekas Perdana Menteri itu, namun Najib telah banyak berjasa kepada negara termasuk kaum India dan keputusan itu  diterima dengan berat hati oleh MIC.

“Hukuman sudah dijatuhkan, jangan pula beliau dihina. Beri beliau penjagaan kesihatan yang terbaik.

“Jangan hina beliau, hormati hak beliau, hormati beliau sebagai seorang pemimpin yang telah berjasa kepada negara ini untuk hampir empat dekad,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Beriged MIC Kebangsaan, di sini, hari ini.

Menurut Vigneswaran, MIC juga mampu melakukan protes, demonstrasi jalanan serta candlelight vigil apabila pemimpin pembangkang dijatuhkan hukuman oleh mahkamah.

Bagaimanapun, tambah beliau, itu bukan cara MIC dan BN kerana kedua-duanya menghormati kedaulatan undang-undang negara.

Katanya, ini juga terbukti apabila BN menyerahkan pentadbiran kerajaan kepada pembangkang tanpa pertumpahan darah apabila mereka kalah pada Pilihan Raya Umum lalu. – MalaysiaGazette