Nurul Izzah Anwar

GEORGE TOWN – Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menyuarakan hasrat mahu kekal bertanding di Parlimen Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

“Saya bukan pemutus kata walaupun hati ini memang teringin (kekal bertanding kerusi Permatang Pauh).

“Sebagai seorang askar dalam parti, saya berharap tidak akan digugurkan daripada menjadi calon dan diberikan kerusi sebagaimana yang dipohonkan hati iaitu Permatang Pauh,” katanya dalam satu sidang media sebelum merasmikan sesi dialog bersama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di sini hari ini.

Nurul Izzah yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Perlis, Kedah dan Pulau Pinang itu berkata, pimpinan Pakatan Harapan telah menetapkan 20 Sept untuk membincangkan soal persediaan PRU15 seperti pembahagian kerusi dan calon, yang diharapkan boleh selesai sebelum Oktober. – Bernama