Datuk Seri Syed Ibrahim ketika menyampaikan sumbangan kepada semua penerima di Dewan Terbuka Ketumbit Kerdau, Temerloh, baru-baru ini

KUANTAN – Lebih RM100,000 diperuntukkan bagi membantu 42 mangsa ribut di daerah Temerloh.

Exco Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, sumbangan tersebut diberikan mengikut keadaan kediaman yang terjejas akibat bencana alam dalam kejadian 15 Ogos lalu.

“Sumbangan kepada mangsa ribut ini diberikan antara RM1,000 sehingga RM7,000 bagi membantu mereka mengikut anggaran kerosakan dan kemusnahan.

“Terdapat bahagian (kediaman) mereka yang musnah teruk dan ada juga sederhana di kawasan seperti Kampung Ketam, Taram, Kelibang, Lipat Kajang, Ketumbit, Kampung Baru Cina, Tekal, Rumpun Makmur, Gunung Senyum dan Desa Baru Puru,” katanya.

Syed Ibrahim berkata demikian ketika dihubungi MalaysiaGazette berkata, sumbangan berkenaan turut diberikan kepada lima keluarga masyarakat Cina di Kerdau, Temerloh.

Selain itu, sebanyak 36 buah tadika Kemas Daerah Temerloh, Maran dan Bera yang terlibat banjir juga turut menerima sumbangan selain pemohon sumbangan pelbagai dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau berjumlah RM382,850 secara keseluruhan.

Daripada jumlah itu, tambah beliau, pihaknya menyalurkan sumbangan yang diperuntukan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan ismailkepada tiga pesakit kronik yang sedang menerima rawatan dan memohon sumbangan perubatan. – MalaysiaGazette