KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO dan Barisan Nasional (BN) disaran bekerja lebih kuat lagi untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dijangka diadakan bila-bila masa daripada sekarang.
Bekas Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Zaid Ibrahim berkata, pilihan raya kali ini tidak mudah memandangkan semua parti terutama daripada pembangkang sudah turun dengan dakyah masing-masing.
“Tahniah kepada Pemuda (pelancaran jentera Pemuda BN, semalam). Mereka perlu bekerja kuat kerana PRU ini tidak mudah. Tenaga UMNO yang kuat tidak boleh lari daripada tenaga pemuda yang kuat.
“Dahulu, ketika semasa saya muda, Pemuda UMNO dipimpin oleh orang tua seperti Datuk Harun Idris dan Tan Sri Syed Jaafar Albar. Semua ini generasi lama, mereka pemimpin Pemuda.
“Walaupun mereka ini tidak muda, tetapi pemikiran dan wawasan mereka memperjuangkan parti dan sayap parti tanpa rasa takut serta bimbang,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, semalam.
Zaid yang kini ahli baharu UMNO berkata, semangat daripada pemimpin lama itu perlu ada pada setiap bentuk tindakan Pemuda sekarang, iaitu kesungguhan, keberanian untuk maju ke hadapan demi bangsa dan negara.
Namun, ujarnya, dalam soal perjuangan Pemuda hari ini, mereka perlu mengambil pendekatan baru, iaitu yang berbeza dari perjuangan lalu.
“Kalau dulu cukup kita katakan keberanian Mat Kilau melawan British, berani berperang, tetapi hari ini peperangan sudah berbeza, musuh juga berbeza.
“Kemampuan Pemuda hari ini untuk melawan juga sudah berbeza. Kalau dulu kita melawan musuh melalui ketenteraan, hari ini musuh sudah berubah. Mereka mempunyai kekuatan dan kekayaan, mempunyai teknologi yang lebih, ada kepakaran Sains dan Teknologi serta ada data.
“Begitulah musuh hari ini yang Pemuda UMNO dan BN perlu hadapi dan untuk menyiapkan parti melawan musuh baharu ini, Pemuda juga perlu dilengkapi dengan pendidikan yang tinggi, Sains, pengetahuan komputer dan macam-macam lagi,” katanya. – MalaysiaGazette