Perwakilan Wilayah Persekutuan, Ahmad Zamri Asaad Khuzaimi memberi usul ketika Konvensyen Nasional 2022 Parti Amanah Negara di Klana Resort Seremban, Negeri SembilanFoto MUHD NA'IM, 18 SEPTEMBER 2022.

SEREMBAN – Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara (Amanah) hari ini meluluskan cadangan satu Pindaan Perlembagaan.

Cadangan itu adalah mana-mana Ahli Parlimen, Senator atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang bertindak melanggar keputusan parti secara automatik hilang taraf keahlian dalam parti.

Ia dibawa oleh Perwakilan Wilayah Persekutuan, Ahmad Zamri As’ad Khuzaimi yang menyatakan parti itu boleh memasukkan fasal baharu iaitu Fasal 6.3 dalam perlembagaan Parti.

“… mereka (ahli yang melanggar keputusan parti) juga telah sebagai bertindak melepaskan keanggotaan daripada parti sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perkara 49A(1)(a)(i) Perlembagaan Persekutuan dan juga dianggap sebagai tidak lagi menjadi anggota Parti sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perkara 49A(1)(a)(ii) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mencadangkan usul tersebut pada Konvensyen Amanah Nasional 2022 di sini, hari ini.

Ahmad Zamri berkata, usul tersebut sebagai menyelaras Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan ahli Parlimen bertukar parti yang diluluskan di Dewan Rakyat pada Julai lalu.

Usul tersebut merupakan antara empat usul yang diterima untuk dibahas pada konvensyen kali ini selain usul kenaikan harga barang asas, hak warganegara Malaysia mewariskan kewarganegaraan kepada anak yang lahir di luar negara dan pindaan retorik perjuangan Melayu Islam dan gagasan Melayu Islam bermaruah.

Ahli Parlimen Shah Alam, Abdul Khalid Samad ketika bangun menjelaskan mengenai usul itu berkata, Amanah perlu menambah atau meminta perlembagaan sedia ada supaya jika mana-mana wakil rakyat parti itu ingkar arahan parti, mereka boleh dianggap mengeluarkan dirinya daripada parti dan boleh dianggap melompat parti.

Usul itu kemudian disokong dan dibahas oleh dua perwakilan dan dilulus secara majoriti. – MalaysiaGazette